Seorang pekerja memasukkan pucuk daun teh yang siap dipetik ke dalam sebuah bakul ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Cameron Highlands, Pahang. foto arkib MalaysiaGazette

KUANTAN – Polis memberi jaminan bahawa destinasi pelancongan Cameron Highlands berada dalam keadaan aman dan selamat untuk dikunjungi.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata dakwaan kononnya berlaku kekecohan dan kekacauan di kawasan pertanian tanah tinggi itu ekoran pelaksanaan Op Lestari 2 sejak 16 Dis lalu, seperti digambarkan di laman sosial adalah tidak benar.

Abd Jalil berkata polis melaksanakan tugas meleraikan tunjuk perasaan yang dipercayai melibatkan 200 orang pada Isnin lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan undang-undang.

“Pihak polis yang diketuai Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Ashari Abu Samah bertanggungjawab membantu Pejabat Daerah dan Tanah daerah itu yang perlu membersihkan kawasan yang dicerobohi menggunakan kaedah paling minimum dan terbaik.

“Kita juga menerima jaminan daripada kerajaan negeri Pahang bahawa tindakan dibuat mengikut undang-undang yang ditetapkan termasuk telah memberikan tempoh masa kepada pengusaha kebun haram terlibat untuk mengosongkan kawasan sebelum tindakan diambil,” katanya.

Abd Jalil berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Program Keselamatan Jalan Raya Bersama Pengusaha-pengusaha Bas Sekolah dari sekitar Kuantan, Pekan dan Maran di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan tujuh individu termasuk dua ahli politik yang ditahan dalam tunjuk perasaan itu juga telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas memberi keterangan pada hari yang sama.

“Kita juga sahkan tiada tangkapan terhadap kanak-kanak dibuat pada hari tersebut dan gambar-gambar yang tersebar di laman sosial adalah tidak benar. Cameron Highlands masih selamat untuk pelancong,” katanya.

— BERNAMA