KUALA LUMPUR – PKNS-Andaman Development Sdn Bhd (PKNS) memfailkan saman terhadap Parkson Corporation Sdn. Bhd. (Parkson) kerana gagal membayar sewa bagi ruang runcit di pusat beli-belah EVO di Bangi, Selangor.

Parkson yang dimiliki oleh Parkson Retail Asia Ltd (PRA) yang merupakan anak syarikat Parkson Holdings didakwa gagal membayar sewa mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 2 Oktober 2017.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Singapura, PCSB berkata, PKNS menuntut sebanyak RM3.66 juta untuk sewa bulanan terakru bagi tempoh dari 2 April 2018 hingga 2 Disember 2019, serta RM182,958 sebulan sehingga ruang runcit dipulangkan kepada PKNS.

Sebagai alternatif, PCSB juga boleh membayar PKNS sebanyak RM3.84 juta – yang mewakili sewa yang terakru dari 27 Feb, 2017 hingga 27 Nov 2019.

Pilihan ini termasuk PCSB membayar PKNS sebanyak RM182,958 sebulan sehingga PCSB mengembalikan ruang runcit kepada PKNS.

PKNS juga menuntut RM1.86 juta daripada PCSB sebagai pampasan bagi sumbangan PKNS kepada kos pengubahsuaian kedai.

PKNS mahu PCSB menyerahkan ruang runcit dalam keadaan asal dalam tempoh 14 hari dari penghakiman dan membiayai kos undang-undang.

PCSB telah menolak tuntutan PKNS dengan mengatakan tiada sewa yang perlu dibayar kerana kedua-duanya gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam perjanjian penyewaan untuk permulaan sewa yang ditetapkan.

PCSB juga berpendapat tindakan PKNS yang mendahulukan tarikh permulaan penyewaan dalam notis permulaan “tanpa memenuhi syarat terdahulu”, adalah menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette