MOSCOW – Presiden Vladimir Putin berkata Rusia mempunyai ‘kapal perentang paip’ bagi membolehkan negara itu menyiapkan pembinaan paip gas, NordStreaam 2, ke Jerman, lapor akhbar Kommersant yang memetik sumber, berikutan sekatan yang dikenakan Washington.

Putin bercakap mengenai kapal itu pada perhimpunan dengan ahli perniagaan Rusia, lapor Kommersant.

Menurut akhbar itu, beliau berkata, tempoh pembinaan projek tersebut akan ‘dipanjangkan’ beberapa bulan kerana sekatan itu, lapor Reuters. 

Pada minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump melaksanakan sekatan ke atas rekaan paip gas Nord Stream 2 yang direka Moscow bagi memintas Ukraine dalam usaha meningkatkan pembekalan gas menerusi Laut Baltik ke Jerman, pelanggan tenaga terbesar Rusia.

Syarikat Switzerland-Belanda, Allseas, yang merentang paip dengan menggunakan dua buah kapal, Pioneering Spirit dan Solitaire, menggantung operasi bagi mengelak sekatan AS.

Pada 2016, firma tenaga Rusia, Gazprom, membeli kapal khas perentang paip, Academic Cherskiy, untuk digunakan sebagai jalan terakhir sekiranya syarikat-syarikat Eropah berhenti beroperasi membina Nord Stream 2.

Sumber Gazprom berkata, purata kelajuan Cherskiy merentang paip adalah lebih perlahan daripada Pioneering Spirit tetapi firma itu tidak menyediakan jangkaan spesifik.

Menurut data Refinitiv Eikon, kini Cherskiy berpangkalan di pelabuhan Nakhodka, Rusia.

Sebelum Washington mengumumkan sekatan ke atas syarikat yang membina Nord Stream 2, para pegawai Rusia berkata, projek itu akan siap dan beroperasi sebelum atau pada pertengahan 2020.