Ketua (Perhubungan Awam dan Dalaman), Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Ir. Shah Nawaz Asan Gany menerima anugerah daripada Pengerusi World Branding Forum, Richard Rowles di Kensington Palace, London.

KUALA LUMPUR – Tanaga Nasional Berhad (TNB) memenangi anugerah Brand of the Year 2019 pada majlis World Branding Awards yang berlangsung di London baru-baru ini.

Menurut kenyataan TNB, syarikat utiliti itu memenangi anugerah yang sama untuk kategori tenaga di Malaysia pada 2014 dan 2018.

“Hanya 318 jenama daripada 3,300 jenama dari 41 negara yang dicalonkan diisytihar sebagai pemenang pada majlis tahun ini,” kata kenyataan itu.

Para pemenang dihakimi menerusi tiga ciri iaitu penilaian jenama (30 peratus), penyelidikan pasaran pengguna (40 peratus) dan undian awam dalam talian (30 peratus).

Hanya enam syarikat dari enam negara menerima anugerah untuk kategori tenaga bagi negara masing-masing.

Bagi Malaysia, sejumlah 14 syarikat menerima anugerah pelbagai kategori nasional.

“Kami berbesar hati untuk menerima anugerah Brand of the Year ketiga kerana ia menggambarkan sentimen positif untuk komitmen TNB bagi meningkatkan hubungan dan reputasi dengan pemegang kepentingan kami.

“Ia adalah kebanggaan negara untuk lebih daripada 70 tahun, anugerah ini merupakan bukti bahawa perkhidmatan kami sekali lagi diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa,” kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

“Kemenangan pada tahun ini sudah pasti akan menggalakkan 35,000 kakitangan TNB untuk bekerja dengan lebih gigih bagi mengekalkan kepercayaan 9.6 juta pelanggan kami dengan pengalaman dan jenama terbaik,”.

“Bergerak ke hadapan, kami akan menumpukan pelan transformasi, Reimagining TNB, bagi mencapai kecemerlangan operasi dan kewangan selain memberi nilai yang lebih baik kepada pelanggan kami,” tambah beliau.

World Branding Awards edisi 2019 merupakan majlis yang kesepuluh dikandalikan oleh World Branding Forum, organisasi bukan keuntungan yang berpangkalan di London – MalaysiaGazette