Suasana di Kolam Memancing Ikan Air Masin, Kampung Delek, Fishing Park, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 DISEMBER 2019

KLANG – Sebanyak 700 ekor ikan pelbagai spesies menunggu kaki pancing sempena ‘Cabaran Memancing Bersama Media TBN-PTPTN 2019 yang akan bermula jam 8 pagi di sini esok.

Persiapan sedang rancak dijalankan di Kolam Ikan Air Masin, Kampung Delek Fising Park untuk memastikan pertandingan berjalan lancar.

Urus setia pertandingan bersama pengusaha kolam ikan giat memantau kerja-kerja menyediakan kemudahan untuk para peserta dan mendirikan beberapa khemah bagi memeriahkan suasana.

Dijangkakan lebih 70 pengamal media dari media cetak, elektronik dan dalam talian mengambil bahagian dalam pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh MalaysiaGazette dengan penajaan utama dari Tenaga Nasional Berhad serta Perbadanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pemandangan udara Kolam Memancing Ikan Air Masin, Kampung Delek, Fishing Park, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 DISEMBER 2019

Kepada yang belum lagi mendaftar, anda masih lagi berpeluang melakukan pendaftaran secara ‘online’ sehingga 12 malam ini juga ‘walk in’ sehingga 10 pagi esok kepada yang berminat.

Pemenang bakal membawa pulang wang  tunai RM1,000 serta Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000.

Selain, hadiah RM1,000 tunai bakal dimenangi juara, tempat kedua bakal membawa pulang wang tunai RM500 dan cenderahati.

Tempat ketiga akan menerima wang tunai RM200 dan cenderahati manakala tempat keempat sehingga tempat ke-10 menerima wang tunai sebanyak RM50.

Kerapu,jenahak dan kaci antara ikan-ikan yang terdapat di Kolam Memancing Ikan Air Masin, Kampung Delek, Fishing Park, Klang, Selangor.

Selain daripada itu, MalaysiaGazette turut menyediakan hadiah-hadiah lain termasuk cabutan bertuah seperti televisyen pintar 40 inci serta barangan menarik lain.

Wakil penganjur, Noor Asrekuzairey Salim merangkap Ketua Unit Produksi MalaysiaGazette berkata, antara spesies ikan yang menunggu para peserta termasuk kerapu, jenahak dan kaci.

Menurutnya, pertandingan berkonsep santai itu bertujuan mengeratkan silaturahim sesama wakil media terutama mereka yang berkongsi minat yang sama.

Kaki pancing asyik dengan aktiviti memancing di Kolam Memancing Ikan Air Masin, Kampung Delek, Fishing Park, Klang, Selangor.

“Seperti kita tahu, sejak akhir-akhir ini keadaan dalam industri media ini agak suram dengan isu-isu seperti VSS dan pemberhentian. Semoga anjuran program seperti ini dapat sedikit sebanyak menceriakan keadaan.

“Ini juga merupakan program buat julung kali bagi MalaysiaGazette dengan kerjasama TNB dan PTPTN. Sebelum ini kita pernah juga menganjurkan program seperti pertandingan boling serta bola sepak sebelum ini,” katanya.

jangan lepaskan peluang sertai cabaran memancing di Kolam Memancing Ikan Air Masin, Kampung Delek, Fishing Park, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 DISEMBER 2019

Turut menghulurkan tajaan bagi menjayakan program esok adalah BERNAS, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Adabi, Jamu Mak Dara, Sherwanis dan MSM Malaysia Holdings Berhad dan Milo.  – MalaysiaGazette