Yosri Derma Raju

KUALA LUMPUR – Dua bekas pemain Negeri Sembilan, Yosri Derma Raju dan Tengku Qayyum Ubaidillah mahu membalas budi majikan mereka, KSR Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dengan memburu kemenangan pada aksi final pusingan play offs ke Liga M3 2020 malam ini.

Menurut kedua-dua bekas pemain profesional ini, mereka melihat itu cara terbaik untuk berterima kasih kepada KSR SAINS yang sudi mengambil mereka bekerja selepas tidak lagi mewakili mana-mana pasukan tempatan sejak beberapa musim lalu.

Yosri yang sudah berumur 37 tahun, bertindak selaku ketua pasukan KSR Sains mengakui hidupnya sedikit mencabar setelah tidak lagi mendapat sebarang tawaran pasukan dan kelab sejak 2017.

Mujur pelawaan KSR Sains pada awal tahun ini dengan peluang pekerjaan membuatkan pemain yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan ini kembali aktif bermain di atas padang.

“Pasukan yang terakhir saya wakili ialah UITM di bawah Raja Isa iaitu pada 2016 dan selepas itu saya tidak lagi bermain ekoran sukar mendapat tawaran.

“Kemudian, saya ambil keputusan untuk balik ke kampung dan cuba untuk berniaga selain saya juga mempunyai kebun sendiri.

“Pada tahun lalu, KSR Sains memanggil saya dan kini saya telah bekerja selama satu tahun enam bulan dengan mereka selain turut diharapkan boleh membantu pasukan.

“Saya bersedia untuk bermain lagi di pentas Liga M3 musim depan dan paling penting saya harap boleh menghadiahkan sesuatu yang lebih manis kepada KSR Sains pada aksi final nanti, ” katanya.

Yosri pernah mencetuskan sensasi pada 2003 apabila menjadi orang asli pertama meraih panggilan skuad kebangsaan ketika berusia 21 tahun ketika dia beraksi selaku pertahanan kanan Negeri Sembilan.

Tengku Qayyum Ubaidillah

Dalam pada itu, seorang lagi pemain yang pernah menjulang dua gelaran Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan pada musim 2009 dan 2011, Tengku Qayyum juga mempunyai pandangan sama seperti Yosri.

“Terima kasih KSR Sains kerana bagi peluang kepada bekas-bekas pemain bukan sahaja untuk bermain tetapi diserap menjadi staf kerana bukannya mudah buat mana-mana pemain mendapat pekerjaan selepas bersara.

“Sekarang ini boleh dikatakan 80 ke 90 peratus pemain KSR Sains adalah staf dan pemain luar tidak ramai tetapi semuanya adalah berasal dari Negeri Sembilan malah kami dah lama kenal.

“Kekuatan kerjasama dalam pasukan ini menjadi kunci utama KSR Sains dan kami harap mampu beri cabaran dalam M3 serta muncul juara saingan pusingan play offs nanti, “ katanya.

KSR Sains yang sudah mengesahkan slot ke Liga M3 2020 akan berdepan Ikram Muda FC pada 28 Disember ini selepas membelasah AZE FC 6-1, pada Sabtu lalu. – MalaysiaGazette