KUALA LUMPUR – Dua sahabat berdepan detik cemas, apabila disamun dua lelaki ketika berada di kedai dobi 24 jam di Jalan Ara, Bandar Sri Damansara dekat sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, wanita berusia 33 tahun dan rakannya didatangi dua lelaki yang bertindak mengacukan sebatang kayu sebelum merampas beg milik mereka.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek turut melarikan kereta Perodua Myvi berwarna kuning milik seorang daripada mangsa yang diletakkan di hadapan kedai berkenaan.

“Mangsa kehilangan enam telefon bimbit, kunci kenderaan, kunci rumah, kereta dan wang tunai RM200,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, usaha mengesan kedua-dua suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Rakaman kamera litar tertutup berdurasi satu minit 22 saat memaparkan detik kedua-dua wanita itu disamun oleh suspek tular di laman sosial hari ini. – MalaysiaGazette