Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Tulisan Bahasa Melayu berhuruf Al-Quran adalah warisan asal Bahasa Melayu yang sengaja dirosakkan oleh penjajah dahulu dalam agendanya khusus terhadap umat Islam dan agamanya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Bahasa Melayu yang berhuruf Jawi dinisbahkan daripada perkataan Jawa, salah satu rumpun Melayu yang terbesar di Nusantara.

Katanya, ia telah digunakan dalam bahasa etnik lain di alam Melayu dengan menggunakan tulisan berhuruf yang sama seperti Bahasa Champa, Tagalog, Acheh, Minang, Banjar dan lain-lain.

Jelas beliau, selain itu, Bahasa Turki di Asia Tengah, Bahasa Urdu di India, Bahasa Parsi di Iran, Bahasa Swahili di Afrika dan lain-lain juga menggunakan tulisan sama apabila bangsanya menganut Islam.

“Namun, penjajah tidak mengacau Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan bahasa lain daripada kaum yang menganut agama bukan Islam,” katanya dalam akaun Twitter.

Maka Abdul Hadi berkata, adalah menjadi kewajipan kepada kaum Melayu berusaha untuk kembali kepada tulisan asalnya yang telah dirosakkan oleh penjajah Barat.

Bahkan, jelas beliau kaum lain yang datang ke Tanah Melayu dan telah diberi hak berbahasa mereka sendiri juga berkewajipan mempelajari bahasa alam Melayu ini.

“Jangan bersikap fanatik dengan bahasa kaum mereka di negeri asal usul dan berputar melawan arus di Alam Melayu ini.

Ingat bahawa rumpun Melayu yang beragama Islam tidak fanatik, tetapi menjadi hak mereka memperkasakan Bahasa Melayu di Alam Melayu sehingga telah pun berjaya menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan pelbagai kaum, di samping menjadi Bahasa Kebangsaan atau bahasa rasmi negara,” ujar beliau.

Menurut Abdul Hadi, agenda menolak pemerkasaan Bahasa Melayu adalah agenda penjajah dahulu yang ditolak oleh rakyat di sini bersama agenda mengeluarkan penjajah daripada tanah air, bukan sahaja jasadnya termasuk juga segala perancangan yang merosakkan jati diri, khususnya terhadap Islam dan penganutnya.

Tambah beliau, akan tiba masanya pihaknya boleh mengisytiharkan bahawa mereka yang menimbulkan kebencian terhadap bahasa asal Melayu yang membawa kesan pengaruh Islam di rantau ini adalah saki baki penerusan agenda penjajah baharu, musuh yang wajib diisytiharkan jihad terhadapnya.

Katanya, mereka yang mengambil langkah benci terhadap Bahasa Melayu berhuruf Jawi adalah terlampau ekstrem dan diibaratkan seperti menjolok sarang tebuan yang sangat besar bencana dan padahnya.

Abdul Hadi berkata, mereka yang menunjukkan penentangan terhadap Bahasa Melayu tulisan Jawi kerana pengaruh Islamofobia terhadap umat Islam.

Menurutnya, mereka ditaja oleh musuh Islam di seluruh dunia walaupun umat Islam sudah lama memperkenalkan konsep tiada paksaan dalam dakwah Islam dan boleh hidup bersama dalam masyarakat majmuk.

“Kami menggalakkan penganut Islam mempelajari pelbagai bahasa dunia termasuk Bahasa Cina dan Tamil, serta tidak memaksa penganut bukan Islam menukar bahasanya setelah masuk Islam.

“Maka adalah sangat tidak saksama jika mereka menghalang kaumnya mempelajari bahasa kami, lebih malang kalau tidak sedar dirinya berada di Alam Melayu,” ujarnya.

Abdul Hadi berkata, tujuan bahasa adalah untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan masyarakat di alam Melayu ini.

Menurutnya, adalah lebih mudah menerangkan Islam dengan bahasa ibunda masing-masing bagi menarik bukan Islam kepada Islam daripada menggunakan tulisan Jawi.

Oleh itu, tambah beliau janganlah jadikan satu-satunya sebab masuk Islam kerana tulisan Jawi. – MalaysiaGazette