Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Transaksi tol menerusi teknologi RFID Touch ‘n Go akan dilaksanakan di 10 buah plaza tol sistem terbuka di lebuhraya kendalian PLUS mulai 1 Januari ini.

PLUS dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, kemudahan tersebut akan dibuka kepada semua kenderaan persendirian (Kelas 1) yang menggunakan plaza-plaza tol seperti berikut:-

  1. Jitra (Lebuhraya Utara-Selatan)
  2. Lunas (Lebuhraya Butterworth-Kulim)
  3. Kubang Semang (Lebuhraya Butterworth-Kulim)
  4. Jambatan Pulau Pinang
  5. Mambau (Lebuhraya Seremban-Port Dickson)
  6. Lukut (Lebuhraya Seremban-Port Dickson)
  7. Kempas (Lebuhraya Utara-Selatan)
  8. Perling (Lebuh raya Linkedua)
  9. Lima Kedai (Lebuh raya Linkedua)
  10. Tanjung Kupang (Lebuh raya Linkedua)

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pelaksanaan sistem pembayaran terkini itu bakal memudahkan pengguna lebuh raya menambah nilai kerana boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlu ke pusat tambah nilai.

“Pada masa yang sama, lebih banyak pilihan pembayaran sedang dibangunkan sama ada menerusi kad debit atau kredit, serta lain-lain eWallet. Pelanggan lebuh raya bakal mempunyai lebih banyak pilihan untuk menukar mod pembayaran apabila kemudahan ini tersedia dalam masa terdekat,” tambah Zakaria.

“Walau bagaimanapun, mod pembayaran tol yang sedia ada iaitu melalui kad Touch ‘n Go atau SmartTAG masih lagi diterima seperti biasa di lebuh raya PLUS,” katanya.

Sementara itu, sistem RFID di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) hanya boleh digunakan untuk Caj Jalan (tag RFID Vehicle Entry Permit) bagi kenderaan Singapura sahaja.

Transaksi tol secara RFID Touch ‘n Go dijangka dapat melancarkan lagi pergerakan trafik di lorong tol kerana pelanggan lebuh raya tidak perlu lagi berhenti untuk menyentuh kad di lorong tol, menambah nilai eWallet dengan lebih mudah secara atas talian, mengurangkan isu kad elektronik tidak cukup baki, mengurangkan kejadian peranti SmartTAG hilang atau tidak mempunyai bateri atau diletakkan secara terbalik dan lain-lain lagi.

Bagi mendapatkan pelekat RFID Touch ‘n Go, pelanggan lebuh raya PLUS boleh mendapatkannya di 130 pusat pemasangan yang disediakan oleh Touch ‘n Go. Maklumat lanjut mengenai pusat-pusat pemasangan tersebut boleh diperolehi melalui pautan https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres dan https://www.tngdigital.com.my/rfid.

Pada masa yang sama, pelanggan lebuh raya yang telah mempunyai pelekat RFID Touch ‘n Go dinasihatkan supaya sentiasa memastikan eWallet mereka mempunyai baki yang mencukupi bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa apabila keluar di plaza tol.

“PLUS juga ingin memaklumkan bahawa transaksi tol menggunakan teknologi RFID Touch ‘n Go di 83 plaza tol sistem tertutup di lebuh raya kendaliannya akan dilaksanakan pada 1 April 2020.

“Plaza tol sistem tertutup adalah sistem di mana kadar tol adalah berdasarkan pada kelas kenderaan dan jarak perjalanan apabila kenderaan tersebut masuk dan keluar dari lebuh raya,” tambahnya.- MalaysiaGazette