Menteri Wilayah Persektuan, Khalid Abdul Samad.

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah dan Persekutuan, Khalid Samad menyifatkan tiada keperluan gaji dan elaun menteri dikurangkan kerana  pemotongan sudah dibuat pada hari pertama Pakatan Harapan (PH) mentadbir.

Katanya, tahap gaji barisan jemaah menteri sekarang ‘okay’ selepas kira-kira RM10,000 dipotong sebelum ini.

Sehubungan itu beliau berkata, tidak adil untuk pihak tertentu menganggap gaji menteri PH tinggi jika dibandingkan pentadbiran sebelum ini.

“Sebagai menteri dan Ahli Parlimen sekarang tidak akan dapat kedua-dua elaun. Satu sahaja iaitu (elaun) menteri. Elaun Ahli Parlimen beribu sebulan ditolak, campur elaun kehadiran (ditolak), jadi walaupun hadir di Parlimen menteri tidak dapat.

“Kalau orang komplen menteri gaji tinggi, dulu (pentadbiran sebelum ini) jauh lagi tinggi. Sekarang saya rasa sudah okay,” katanya ketika sidang media di bangunan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Khamid berkata demikian ketika ditanya adakah beliau bersetuju sekiranya gaji dan elaun menteri dikurangkan.

Tambah Khalid, beliau tidak lagi menerima kemudahan penuh sebagai Ahli Parlimen termasuk cukai jalan yang tidak boleh dituntut jika dibandingkan sebelum ini.

“Kalau dulu road tax Ahli Parlimen boleh tuntut sekarang semua kemudahan Ahli Parlimen dinafikan kecuali gaji,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan elaun ahli politik dan menteri dipotong susulan tercetusnya kontroversi melibatkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dalam kalangan penjawat awam terutama doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

Antara menteri yang bersedia elaunnya ditolak adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pemansuhan BIPK oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dibuat dalam keadaan tidak dirujuk penuh semasa Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) kerana ia merupakan perkara terakhir dalam kertas cadangan.

Mukadimah kertas cadangan itu jelas beliau, hanya menyatakan tentang penyelarasan.

“Kalau tengok kertas cadangan ia merupaka perkara ke-35 last paper dan dibentang hari itu juga, jadi ada yang baca muka depan sahaja iaitu tentang penyelarasan elaun.

“Belakang baru bincang cerita pemotongan bila kita tidak sempat baca, kita baca covering letter tidak ada cakap (tentang pemansuhan BIPK) hanya sempat rujuk mukadimah penyelarasan, sebab itu ia lulus begitu,” katanya.

Demi mengelakkan perkara yang sama berulang, Khalid akan mencadangkan kepada Kabinet agar tidak meluluskan cadangan tanpa mempertimbangkannya secara lebih terperinci, kecuali melibatkan perkara tertentu.

“Saya akan minta Kabinet, untuk tidak meluluskan terus yang dibentangkan pada hari itu kecuali kecuali yang benar-benar terdesak, kalau tidak tidak adil untuk menteri buat keputusan,” ujar Khalid. – MalaysiaGazette