Sulaiman Mohd Tahir

KUALA LUMPUR- Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) diunjur mencatat pertumbuhan yang kukuh pada 2020, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB Holdings Bhd Datuk Sulaiman Mohd Tahir.

Ini disokong oleh insentif yang relevan dan langkah dasar utama termasuk peningkatan pendigitalan dan kesalinghubungan, katanya dalam kenyataan mengenai unjuran bank itu bagi 2020, hari ini.

Beliau menjelaskan PKS berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan bidang yang berkembang pesat seperti sekuriti siber, penyatuan rantaian bekalan, teknologi inovatif dan model perniagaan baharu.

“Berdasarkan petunjuk ini, saya berkeyakinan bahawa Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk mencapai pertumbuhan yang stabil walaupun berhadapan persekitaran yang mencabar,” kata Sulaiman.

Walaupun menjangkakan industri perbankan akan berhadapan cabaran yang berterusan, beliau kekal optimis dan mengunjurkan dasar yang bertambah baik dan lebih jelas.

“Selain itu, portfolio kami memberi tumpuan ke atas pertumbuhan pinjaman dan prospek yang cerah kepada PKS,” katanya. – Bernama