Dato Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson (kiri) menyampaikan anugerah Industry Excellence in Education Support dan Emerging Women Leader sempena Global Leadership Awards 2019 kepada Mastura Mohd Khalid, Timbalan Ketua Eksekutif, Dasar dan Operasi PTPTN (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus melaksanakan tanggungjawab melahirkan modal insan berpendidikan di sebalik suasana ekonomi yang muram dan pelbagai tekanan diterima sepanjang 2019.

Ini terbukti apabila sehingga 30 November lalu apabila PTPTN telah membantu seramai 172,863 pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) melalui pinjaman pendidikan yang disediakan.

Daripada jumlah tersebut seramai 78,755 pelajar (46%) yang terdiri daripada golongan B40  telah dibantu oleh PTPTN untuk mengubah taraf hidup keluarga dengan merealisasikan cita-cita mereka ke menara gading.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, PTPTN juga terus dapat meningkatkan budaya membayar balik pinjaman dalam kalangan peminjam.

Ini dibuktikan dengan berlakunya peningkatan prestasi bayaran balik daripada 81.3% pada 31 Disember 2018 kepada 82.5% pada 30 November 2019.

“PTPTN merupakan sebuah agensi pembiayaan pendidikan utama negara di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang saban tahun sentiasa menambahbaik fungsi dan perkhidmatan kepada pelanggan meliputi peminjam dan pendeposit serta masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Wan Saiful Wan Jan

Mengulas lanjut, katanya, bagi 2019, PTPTN telah menetapkan sasaran kutipan bayaran balik sebanyak RM2 bilion dan sehingga 30 November lalu sebanyak RM2.07 bilion telah berjaya dikutip di mana ia melebihi sasaran yang ditetapkan.

PTPTN, katanya, menjangkakan angka ini akan terus meningkat sehingga akhir tahun ini.

Bagi pelaksanaan manifesto Kerajaan, PTPTN secara bersungguh telah melaksanakan 75 peratus iaitu tiga daripada empat manifesto merangkumi:

— Pelajar yang cemerlang dan juga pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah diberikan diskaun bayaran yang setimpal ataupun hutang akan dilupuskan seluruhnya;

— Insentif cukai diberi kepada majikan yang membantu membuat bayaran balik tanpa memotong gaji pekerja terbabit; dan

— Memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Menurut Wan Saiful, perkara itu berjaya dilaksanakan segera kerana melibatkan bidang kuasa di pihak PTPTN.

“Penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan masih belum dapat dilaksanakan kerana melibatkan perkara di luar bidang kuasa PTPTN di samping mempunyai implikasi yang besar kepada kewangan negara.

“PTPTN telah melaksanakan tindakan yang sewajarnya termasuk mengadakan sesi libat urus dan rundingan dengan pihak berkepentingan,” katanya.

PTPTN

Beliau berkata, selaras dengan halatuju masa hadapan untuk membudayakan amalan menyimpan berbanding meminjam bagi tujuan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Instrumen simpanan ini telah memperoleh keuntungan pelaburan terkumpul bagi tahun 2019 berjumlah RM151.50 juta setakat sukuan ketiga tahun ini.

Prestasi tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 25.9% berbanding sebanyak RM120.33 juta bagi tempoh yang sama tahun 2018.

“PTPTN menjangkakan pada sukuan keempat keuntungan pelaburan terkumpul akan terus menunjukkan prestasi yang cemerlang,” katanya.

Untuk rekod pencapaian SSPN sehingga 30 November 2019, jumlah deposit adalah sebanyak RM798.00 juta berbanding RM671.97 juta pada tempoh yang sama tahun 2018.

Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM126.03 juta atau 18.76%, sekali gus menjadikan deposit SSPN terkumpul keseluruhan sehingga November 2019 berjumlah RM5.30 bilion.

Sehingga 30 November 2019 sebanyak 404,676 akaun baharu SSPN telah dibuka. Secara keseluruhan, sebanyak 4.32 juta akaun SSPN telah dibuka sejak dilancarkan pada tahun 2004.

PTPTN telah menerima dua anugerah sempena Malaysia PR Awards 2019

Selain masih dapat mengekalkan Pensijilan MS ISO 9001:2015, PTPTN terus melakar sejarah sepanjang tahun 2019 ini apabila telah diberi beberapa anugerah dan pengiktirafan dari pelbagai agensi dan persatuan terkemuka di Malaysia. Anugerah dan pengiktirafan tersebut meliputi:

  1. Social Media Excellence – Education Support sempena Malaysia Social Media Week (MSMW) 2019;
  2. Industry Excellence in Education Support dan Emerging Woman Leader sempena Global Leadership Awards (GLA) 2019;
  3. Top DirectDebit Merchant sempena Malaysian e-Payments Excellence Awards (MEEA) 2019;
  4. 5 Bintang untuk Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2019 oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (KPKK); dan
  5. Special Award  –  Campaign  of  The  Year  dan  Gold  Award:  Crisis  or  Issues Management sempena Malaysia PR Awards 2019.

Mengulas pencapaian 2019, Wan Saiful berkata, kecemerlangan itu hasil dedikasi para pegawai PTPTN di semua peringkat yang berusaha gigih menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Kesemuanya itu dipandu oleh Ahli Lembaga Pengurusan serta Pengurusan Tertinggi PTPTN yang dipimpin oleh Mastura Mohd Khalid selaku Pemangku Ketua Eksekutif, PTPTN.

“Mereka sentiasa komited memberikan sumbangan serta pengalaman intelektual dan profesional.

“Harapan PTPTN untuk tahun 2020 adalah untuk terus menambahbaik penyampaian perkhidmatan ke arah yang lebih bersepadu serta memenuhi tahap kepuasan dan ekspektasi pelanggan yang lebih optimum, demi menjayakan agenda Kemakmuran Bersama,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

1 Komen

Comments are closed.