Kulit buku Tulang-Tulang Berserakan karya Sasterawan Negara, Usman Awang.

KUALA LUMPUR – Setiauasaha Akhbar kepada Menteri Pendidikan, Zul Fikri Zamir Muhamad Munir tidak tahu-tahu menahu tentang paparan individu yang dikaitkan dengan dirinya pada kulit muka depan buku Tulang-Tulang Berserakan karya Seniman Negara, Usman Awang.

Beliau sebaliknya memohon agar penjelasan diajukan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Wsalam. Saya pun tak tahu menahu isu ini, termasuk gambar saya di situ.

“Boleh tanya DBP terus,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi pesanan mesej ringkas, Whatsapp di sini hari ini.

Zul Fikri Zamir diminta mengulas dakwaan anak Usman, Haslina yang mendakwa gambar kulit muka depan novel Tulang-Tulang Berserakan adalah seorang pegawai khas menteri.

Baca: Anak sasterawan negara kecewa gambar orang lain pada kulit buku Tulang-Tulang Berserakan

Haslina berkata demikian ketika menjawab komen pengikutnya di laman sosial Facebook miliknya.

Sebelum itu beliau meluahkan rasa kecewa dan amat sedih apabila karya bapanya diterbitkan dengan paparan gambar orang lain.

Haslina berkata, paparan gambar di kulit muka depan Tulang-Tulang Berserakan menunjukkan DBP serta Kementerian Pendidikan tidak bertanggungjawab dan telah menganiaya karya seorang sasterawan negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dalam penjelasan awalnya kepada MalaysiaGazette hari ini berkata, konsep gambar yang dipilih pereka bentuk telah difikirkan sesuai untuk satu kelainan baharu.

Baca: Kulit muka depan buku DBP tarik anak muda

“Perlu diambil ingatan jika menggunakan nama seseorang dan tanpa kebenaran namun dalam konteks ini ia adalah ihsan dan tidak perlu dibayar.

“Kalau tengok gambar kecil itu sahaja dan tidak fokus gambar, tetapi kebetulan individu yang dipilih memberi izin dan tidak perlu bayar. Ia hanya sekadar gambar hiasan dan tiada maksud lain sama sekali,” katanya. – MalaysiaGazette