Agensi keselamatan Malaysia, khususnya Polis Diraja Malaysia, memantau rapat situasi semasa selepas Jepun mengeluarkan amaran kepada warganya termasuk di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada kehilangan jiwa dalam insiden kemalangan jalanraya di Mesir pada Sabtu lalu.

Menurut satu kenyataan kementerian berkenaan, kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden kemalangan jalanraya di Mesir berada dalam keadaan stabil.

“Kementerian Luar Negeri juga ingin mengesahkan bahawa tiada warganegara Malaysia yang terkorban dalam insiden tersebut.

“Kesemua mangsa telah dipindahkan ke Suez Hospital for Health Insurance dan Sheikh Zayed Specialised Hospital untuk menerima rawatan lanjut,” kata Kementerian Luar.

Semalam, Wisma Putra berkata lima rakyat Malaysia sekeluarga terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya di Mesir.

Kemalangan tersebut berlaku semasa kesemua mangsa dalam perjalanan dari Hurghada ke Kaherah pada 11 pagi Sabtu waktu tempatan.

Kesemua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Suez Canal Hospital serta Children Hospital, Cairo bagi menerima rawatan.

Laporan agensi berita antarabangsa sebelim ini melaporkan dua rakyat Malaysia dilaporkan antara enam yang terkorban dalam kemalangan membabitkan dua buah bas di jalan menuju ke Laut Merah, di Kaherah.

Selain pelancong Malaysia, seorang lelaki warga India dan tiga warga Mesir turut disahkan maut, demikian menurut laporan antarabangsa.

Media antarabangsa turut melaporkan, 24 lain yang cedera, termasuk beberapa yang parah, dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. -MalaysiaGazette