Plaza Tol Gombak

KUALA LUMPUR – Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), ANIH Bhd. menjangkakan kira-kira 10,000 transaksi kutipan tol menggunakan teknologi RFID sehari direkodkan di dua plaza tol kendaliannya pada tahun pertama pelancarannya.

Pengendali lebuh raya berkenaan telah bersedia untuk melaksanakan kutipan tol di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong menggunakan teknologi terbaharu itu mulai esok.

Pengarah Eksekutif ANIH Bhd., Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, persediaan rapi telah dibuat sejak awal lagi untuk memastikan laluan yang dilengkapi mod bayaran RFID di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong bersedia dengan sistem kutipan baharu itu.

Buat masa ini, kedua-dua plaza tol itu telah menyediakan satu lorong RFID untuk setiap arah perjalanan (barat dan timur).

“Pelaksanaan kutipan tol menerusi mod RFID di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong, Lebuhraya KLK ini selaras dengan sokongan kami ke arah pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti (Multi Lane Free Flow (MLFF) di lebuh raya yang merupakan aspirasi Kerajaan ke arah meningkatkan kualiti khidmat bayaran tol untuk pengguna di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebagai permulaan, mod pembayaran terbaharu ini akan ditawarkan hanya kepada Kenderaan Kelas 1 sebelum ia diperluaskan kepada kenderaan kategori lain sebelum akhir tahun 2020.

Sebagai pengendali lebuh raya antara yang paling sibuk di negara ini, Nik Fauzi berkata, ANIH Berhad turut memastikan kesemua kakitangannya di dua plaza tol berkenaan bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan bagi membantu pengguna membuat bayaran dengan penggunaan teknologi RFID.

“Lebuhraya KLK merupakan lebuh raya utama yang menghubungkan ibu negara dengan negeri-negeri di pantai timur dan ia akan menjadi sesak terutamanya pada musim cuti sekolah dan musim perayaan.

“Mengambil contoh pada perayaan Tahun Baru Cina yang lepas, purata harian pengguna di Lebuhraya KLK pada waktu puncak meningkat sebanyak 73 peratus kepada 159,010 buah kenderaan sehari berbanding sejumlah 91,923 buah kenderaan pada hari biasa,” katanya.

Kutipan tol menerusi RFID di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), iaitu sebuah lagi lebuh raya kendalian ANIH Berhad yang menggunakan kaedah sistem tol tertutup pula dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2020.

Tambah Nik Fauzi, untuk tempoh percubaan bagi projek perintis RFID sehingga 31 Disember 2019, syarikat telah merekodkan sejumlah 151,238 pengguna RFID di Lebuhraya KLK dan menjangka jumlah tersebut akan meningkat sejajar dengan peningkatan maklumbalas positif kesan daripada faedah yang  ditawarkan  menerusi  mod RFID.- MalaysiaGazette