KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bakal memperkenalkan perkhidmatan bagasi umrah kepada rakyat Malaysia yang mengerjakan umrah di Madinah, Arab Saudi mulai 1 Januari 2020.

Perkhidmatan ini akan memudahkan urusan penghantaran pulang bagasi dan barangan milik para jemaah Malaysia ke tanahair.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib berkata, perkhidmatan bagasi ini dapat membantu para jemaah mengurangkan beban dan mengelakkan daripada dikenakan caj lebihan bagasi yang mahal.

Pos Malaysia mengenakan caj SR/RM20.00 bagi setiap kilogram untuk penghantaran ke Semenanjung Malaysia dan SR/RM25.00 bagi setiap kilogram ke Sabah dan Sarawak.

Dua opsyen pembayaran disediakan; secara tunai dalam matawang Riyal Saudi bagi penghantaran dari Makkah dan Madinah atau melalui kaedah bayar waktu terima (COD) sebaik sahaja barangan diterima di Malaysia.

Menurutnya, para pelanggan yang memerlukan pembungkusan barangan dalam kotak, perkhidmatan pembungkusan juga disediakan untuk memenuhi keperluan jemaah pada harga yang berpatutan, bermula dari SR8.00 untuk kotak saiz kecil, SR10.00 untuk kotak saiz sederhana dan SR12.00 untuk kotak saiz besar tanpa sebarang yuran pengendalian tambahan dikenakan.

Buat sementara waktu, Pos Malaysia akan menyediakan perkhidmatan pengambilan secara temujanji melalui panggilan sehingga kaunter tetap disiapkan.

Pasukan operasi Perkhidmatan Bagasi Umrah Pos Malaysia di Madinah boleh dihubungi melalui 0555 705765 / 0558 826255 / 0556 288220.

Semua barangan akan dihantar dalam masa 7-14 hari bekerja. Bagi perlindungan bagasi, pelanggan boleh memilih untuk membeli perlindungan insurans yang menawarkan pampasan sehingga 30kg bagi setiap item (bersamaan dengan RM900.00 atau yang mana lebih rendah) sebagai gantian nilai bagasi, item / bungkusan yang hilang, dicuri atau rosak*.

Bagi mematuhi peraturan antarabangsa, pelanggan tidak dibenarkan untuk menghantar barangan berharga seperti wang tunai, barang kemas atau barang-barang yang dilarang oleh kerajaan Arab Saudi atau barangan terlarang yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia. – MalaysiaGazette