Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin diiringi Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kiri), Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi (dua kanan) dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Reza Mohd Sany (kanan) hadir pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera ke-20 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Jeneral Tan Sri Affendi Buang secara rasminya dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu hari ini.

PAT yang ke-21 itu menerima sijil dan tongkat kuasa sebagai simbolik penerimaan jawatan daripada bekas penyandangnya Jeneral (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dalam satu majlis serah terima tugas di Auditorium Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Istiadat penuh bermakna itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, timbalannya, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Affendi dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Sarawak dan mendapat pendidikan awal di Kuching sebelum meneruskan pelajaran di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi sehingga menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1979.

Beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai Pegawai Kadet TUDM dalam tahun 1980 dan menerima latihan asas di Sekolah Pegawai Kadet di Port Dickson dan latihan Asas Terbang di TUDM Alor Setar dan berjaya ditauliahkan ke dalam Tentera Udara Malaysia (TUDM) sebagai Leftenan Muda pada tahun 1982.

Kerjaya beliau sebagai juruterbang pesawat pejuang bermula selepas memulakan penukaran latihan ass jet pejuang menggunakan pesawat MB-339A.

Beliau juga menamatkan pengajian Sarjana Sastera (Pengajian Strategik) di Deakin University, Australia dan menambah ilmu dan pengalamah di Royal College of Defense Studies di London pada tahun 2011.

Affendi juga pernah berkhidmat sebagai Komander Pangkalan Udara Butterworth sehingga tahun 2007.

Pada tahun 2016 beliau dinaikkan pangkat Panglima Tentera Udara (PTU) dan mengambil aih tugas Jeneral Tan Sri Roslan Saad TUDM sebagai panglima TUDM ke-18.

Dalam pada itu, Zulkifli dalam ucapannya berkata, perjuangan untuk pemimpin yang menerajui PAT tidak pernah selesai dan masih banyak perkara yang perlu dilakukan dan ia satu tanggungjawab besar kepada negara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin bersalaman dengan sebahagian pegawai-pegawai kanan pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera ke-20 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2020.

“Untuk itu, besarlah harapan saya agar seluruh warga ATM memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada PAT baharu (Affendy) dan laksanakanlah tugas dan tanggungjawab terhadap pemimpin sebagaimana haknya yang telah termaktub.

“Teguhkanlah juga elemen the art of fellowship agar hubungan dinamik antara pemimpin dan yang dipimpin sentiasa dapat memacu organisasi yang kita sayangi ini ke mercu gemilang,” katanya di hadapan ratusan pegawai tertinggi dan anggota ATM yang berkumpul dan menyaksikan istiadat serah terima tugas itu.

Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah untuk Affendi yang akan meneruskan tugasnya selepas ini selain Yang Teramat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Tengku Muhaini Almarhum Sultan Ahmad Shah sebagai Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat yang baharu.

Beliau diperkenaan Yang Dipertuan Agong sebagai PAT ke-20 mulai 20 Jun 2018 sehingga hari ini.

Beliau turut berkongsi beberapa kejayaan yang telah dilaksanakan di dalam ATM antaranya Kertas Putih Pertahanan yang diperkenalkan kerajaan dan telah dibentang dan dipersetujui majoriti Dewan Rakyat.

“Saya untuk tahun 2020 ini yakin ATM akan terus mengorak langkah, ditingkatkan keperkasaan untuk terus mempertahan dan melindungi kedaulatan bumi Malaysia yang tercinta,” katanya lagi.

Zulkifli juga menyeru ukhuwwah sesama warga ATM dikekalkan dan terus disuburkan dengan ikatan kejiwaan yang melahirkan sikap toleransi, sikap hormat, saling membantu serta kesetiaan kepada organisasi.

“Dengan kejituan ukhuwah itu, maka lunaslah amanah yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab, adil, dan tetap pada haknya,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast