Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Kelantan menerima bantuan “one-off” berjumlah RM400 juta daripada kerajaan persekutuan pada 25 Dis lepas, kata Menteri Besar Ahmad Yakob.

Kerajaan negeri menerima surat khas daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 17 Dis lepas dan peruntukan itu akan digunakan untuk meningkatkan sosio-ekonomi, kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan fiskal kewangan negeri.

“Kerajaan negeri mengucapkan penghargaan yang tak terhingga kepada Mahathir atas bantuan yang diberikan dan ia pertama kali kita terima bantuan ‘one-off’ ini.

“Kita tak pernah minta bantuan ‘one-off’ ini dan hanya meminta untuk bayaran royalti (petroleum) sahaja sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2020 dan Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Mampan Kelantan 2019-2023 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata penjawat awam Kelantan dan kakitangan lantikan politik negeri juga menerima tambahan bayaran bonus, masing-masing berjumlah RM500 dan RM250 minggu depan.

Bayaran bonus itu diberikan berikutan terdapat lebihan sebanyak RM45 juta dalam prestasi kewangan Kelantan pada 2019.

“Walaupun belanjawan negeri defisit (ketika dibentangkan) namun kita mendapat lebihan 3 tahun berturut-turut.

“Kita cuba sedaya upaya untuk mengurus kewangan negeri dengan sebaik mungkin dan mengadakan mesyuarat sebanyak tiga kali setahun untuk memantau pelaksanaan pergerakan kewangan,” katanya.

– BERNAMA

1 Komen

  1. Kerajaan PAS yg gagal. Apa yg PAS buat utk jadi sebuah negeri yg berdikari.????. Sebuah kerajaan yg memalukan. Selagi PAS mentadbir Kelantan selagi itu lah rakyat nya berhijarah utk mencari nafkah.

Comments are closed.