Jimmy Cuah

JOHOR BAHRU – Bekalan air kepada 35,000 isi rumah di daerah Muar mengalami gangguan selepas paras amonia yang tinggi dikesan di Sungai Muar.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata Badan Kawal Selia Air Neger Johor (Bakaj) dan Ranhill SAJ, akan mengadakan mesyuarat tengah hari ini untuk berbincang bagi memulihkan sepenuh dan pembekalan semula ke kawasan yang terjejas.

“Maklumat terkini akan disalurkan selepas mesyuarat tengah hari ini. Pada masa sekarang, keadaan adalah stabil. Saya berharap semua pengguna dapat bersabar dengan keadaan sekarang dan kami masih bekerja sepenuh masa untuk memastikan pemulihan sepenuhnya (bekalan) air di kawasan terjejas,” katanya kepada Bernama menerusi whatsapp pagi ini.

Kerajaan Negeri Johor masih menyiasat punca dan sebab pencemaran air yang dikesan semalam.

Ranhill SAJ berkata, bekalan air dari loji rawatan air Panchor 3 berkurangan 20 peratus akibat penurunan kualiti air mentah dari Sungai Muar.

“Siasatan menunjukkan bahawa paras amonia lebih 2.5 ppm, hingga menjejaskan operasi loji rawatan air Panchor 3 kerana ia tidak boleh beroperasi di tahap maksimum,” kata pengendali khidmat air itu dalam laman webnya malam tadi.

Antara kawasan terjejas oleh kekurangan bekalan air ialah Pekan Bakri, Kampung Baru Bakri, Parit Hj Zin, Parit Hj Nor, kawasan perindustrian Bakri serta Jalan Air Hitam.

— BERNAMA