Reaksi ceria Menteri Pendidikan, Maszlee Malik (dua kiri) bersama murid-murid Tahun Satu pada hari pertama sesi persekolahan 2020 di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 421 buah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) akan disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pengajaran Murid Berkeperluan Khas (MBK) pada tahun ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, penambahan program itu bagi keperluan pendidikan kepada 7,591 orang MBK dengan 1,109 buah kelas bakal disediakan.

Katanya, pendidikan bagi MBK merupakan inisiatif keutamaan  KPM sejajar dengan pengumuman Dasar Penolakan Sifar ketika sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada tahun lepas.

“Peluasan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM54 juta  bagi menyediakan kemudahan kepada kanak-kanak berkeperluan khas agar mereka mendapat akses kepada pendidikan yang lebih baik.

“Jumlah enrolmen juga telah meningkat seiring dengan pembangunan infrastruktur bagi MBK,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keramat Wangsa di sini hari ini.

Terdahulu, Maszlee mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Setiawangsa untuk melihat suasana kemasukan murid tahun satu pada sesi pagi sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut Maszlee berkata, KPM telah menerima jumlah kemasukan MBK sebanyak 4,821 orang pada tahun lalu menjadikan jumlah itu bertambah kepada 88,419 orang berbanding 83,598 orang pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun Maszlee memberitahu, jumlah guru yang akan ditempatkan untuk pengajaran MBK belum dapat ditentukan dan ia sedang dalam kajian.

Dalam pada itu Maszlee bangga dengan sikap guru-guru di dua sekolah yang dilawatinya hari ini kerana memberikan komitmen baik untuk menyambut pelajar-pelajar yang mula bersekolah hari ini.

Ujarnya, perkara sama turut dapat dilihat kepada ibu bapa yang prihatin  menghantar dan mengurus anak masing-masing hingga ada antaranya menunggu sehingga anak mereka masuk ke kelas.

“Ini jelas menunjukkan bahawa agenda pendidikan tetap menjadi keutamaan kepada rakyat Malaysia dan bagi pihak KPM kita akan pastikan akses pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada rakyat.

“Kepada anak-anak yang baru masuk sekolah harapan pakcik banyakkan baca buku dengar cakap cikgu dan ibu bapa,” ujarnya. – MalaysiaGazette