Mohd Hairi Mad Shah

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Johor menggesa Dr Maszlee Malik supaya turut melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, Maszlee wajar berbuat demikian ekoran kegagalan beliau dalam menunaikan janji-janji kepada pengundi di kawasannya sendiri berhubung penghapusan tol yang sehingga hari ini.

Katanya, wakil rakyat PPBM  itu perlu berjiwa besar untuk melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat.

“Kegagalan Maszlee menguruskan dan bertegas dalam soal tulisan Jawi, program sarapan percuma misalnya banyak mencetuskan kontroversi.

“Malah, Maszlee juga dilihat lemah dalam menangani perkara dasar pendidikan negara dan sering tunduk pada gertakan DAP.

“Jika persepsi atau pencapaian yang dianggap gagal dilakukan  Maszlee sebagai Menteri Pendidikan yang terpalit pelbagai isu, rakyat juga menilai prestasi dan kad laporannya sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Hairi berkata, banyak perkara-perkara dasar dilihat gagal ditangani oleh Maszlee secara berkesan dan langkah meletakkan jawatan sebelum isu pendidikan negara semakin teruk di bawah kepimpinannya adalah satu keputusan tepat.

“Di sebalik kegagalan demi kegagalan yang ditunjukkan oleh menteri-menteri Pakatan Harapan, Pemuda UMNO Johor menyarankan juga agar lebih ramai menteri bersifat seperti  Maszlee yang melepaskan jawatan beliau kerana amanah yang diberikan gagal dilaksanakan sama ada dasar pentadbiran mahupun manisfesto,” ujarnya.

Maszlee hari ini membuat pengumuman mengejut apabila mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa esok.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas beliau dikatakan sering menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu meletakkan jawatan hari ini selepas 20 bulan menjadi menerajui Kementerian Pendidikan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Jangan lebih2…. Biar kan Dr. Mazlee di situ sebagai mp…. Ada masalah apa dengan awak ni?

  2. Mana dia RMT untuk semua murid sekolah rendah??? Hari tu kau kata, tak kira miskin kaya semua dapat menikmati RMT. Sembang kan main kencang… pokok pun bleh tumbang!!!

Comments are closed.