Polemik pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular masih berterusan.

PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menjelaskan dua kekeliruan yang timbul berhubung pengedaran “borang pilihan persetujuan ibu bapa” yang menentukan pengajaran pengenalan tulisan Jawi di satu-satu sekolah vernakular.

Dalam isu pertama, Nie Ching memberitahu Sinchew Daily, borang pilihan itu hanya melibatkan ibu bapa kepada murid tahun empat.

Dalam isu kedua pula, Timbalan menteri Pendidikan menjelaskan, keputusan pengajaran Jawi adalah berdasarkan kepada “jumlah borang soal selidik yang diterima daripada ibu bapa” dan bukannya “jumlah borang yang diedarkan” .

Keadaan itu bermakna pengajaran tulisan Jawi di satu-satu sekolah akan dijalankan jika 51 peratus atau lebih borang yang diterima daripada ibu bapa menyatakan persetujuan.

Berdasarkan garis panduan daripada Kementerian Pendidikan, ibu bapa perlu melengkapkan borang tersebut dalam tempoh 14 hari selepas menerimanya dan mengembalikannya kepada sekolah atau persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

Dalam pada itu, Sinchew Daily turut melaporkan, banyak sekolah pada awalnya mahu mengedarkan borang pada hari pertama persekolahan, tetapi kini telah menundakannya kepada 5 atau 6 Januari kerana pelbagai keadaan termasuk “zon kelabu” yang mengelirukan.

“Terdapat pelbagai pentafsiran tentang garis panduan yang dikeluarkan. Sebagai contoh, ia tidak menyatakan sama ada semua ibu bapa akan terlibat,” kata seorang sumber.

Selain itu, banyak sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) dilaporkan akan menterjemahkan borang selidik ke dalam bahasa Cina untuk membolehkan ibu bapa lebih memahami kandungannya.

China Press pula melaporkan, sesetengah sekolah memilih tidak mengedarkan borang pada hari pertama persekolahan 2020 kerana sibuk dengan perkara lain pada hari itu.

Menurut garis panduan, lembaga pengelola akan bertanggungjawab mengeluarkan borang itu sekiranya sekolah berkenaan tidak mempunyai PIBG.

Ahli jawatankuasa PIBG perlu mengadakan mesyuarat selepas mengumpulkan semua borang pilihan ibu bapa.

Keputusan mengenai pengajaran tulisan Jawi seterusnya perlu direkodkan dan laporan berserta tandatangan pengesahan perlu diserahkan kepada pejabat pendidikan daerah, yang seterusnya akan mengemukakan keputusan kepada jabatan pendidikan negeri. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bertahun tinggal di Malaysia pun masih tak boleh isi borang dlm bahasa Melayu? Cina kominis mana ni?

Comments are closed.