Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melancarkan operasi penguatkuasaan besar-besaran bagi memburu majikan dan pendatang tanpa izin (PATI) yang ingkar terhadap perundangan negara.

Tunpuan juga kepada mereka yang tidak mengambil peluang untuk pulang ke negara asal melalui Program Back For Good (Program B4G).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi penguatkuasaan itu akan dijalankan secara berterusan dan ia merupakan sebahagian dari komitmen jabatannya mencapai sasaran sasaran tangkapan 70,000 PATI bagi tahun ini.

“Program B4G telah tamat pada 31 Disember 2019 dengan jumlah 190,471 orang PATI mendaftar untuk pulang secara sukarela.

“Jabatan ini terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi memburu saki baki PATI yang ingkar untuk menyerah diri dan pulang ke negara asal melalui program ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Khairul Dzaimee, sepanjang tempoh bermula 24 jam 1 Januari ini, pihaknya telah mengadakan sebanyak 124 operasi penguatkuasaan di seluruh negara.

Menurutnya, seramai 1,871 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 474 PATI dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan dan empat majikan turut ditahan dalam tempoh tersebut.

“Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, warga Indonesia telah mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 220 orang diikuti oleh warga China seramai 89 orang, Bangladesh seramai 78 orang, Myanmar seramai 42 orang, Filipina seramai 22 orang dan bakinya adalah dari negara-negara lain,” katanya.

Majikan yang dikesan menggaji PATI boleh diambil tindakan perundangan di bawah Akta Imigresen 1959/63 yang mana majikan didakwa di bawah empat kesalahan utama iaitu di bawah Seksyen 55A untuk membawa masuk PATI secara tidak sah ke dalam negara, Seksyen 55B untuk menggaji PATI, Seksyen 55E untuk membenarkan PATI masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56 (1) (d) untuk kesalahan melindungi PATI.

“Selain itu, majikan juga boleh didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007(Pindaan 2010)(ATIP SOM) jika terdapat elemen-elemen paksaan atau eksploitasi pekerja,” katanya lagi.

Tegas beliau, pihaknya telah memberikan tempoh yang secukupnya bagi PATI menyerah diri secara sukarela dan pulang melalui Program B4G.

“Namun kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh PATI dan sesetengah majikan yang masih berdegil. Oleh itu, mereka bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang jika dikesan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan ini.

“Selain itu, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan dipohon supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” jelasnya.- MalaysiaGazette