Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Sabah hari ini menjadi negeri pertama menempatkan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat Ketua Menteri dan Unit Integriti Negeri Sabah di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong berkata kedua-dua pegawai kanan SPRM berkenaan akan memulakan tugas secara rasminya bermula hari ini.

“Pada 27 Nov tahun lepas kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jemaan Menteri bersetuju untuk menempatkan pegawai kanan SPRM berkenaan secara pinjaman untuk tempoh tiga tahun.

“Mohd Fuad Bee Basrah Bee yang memegang Gred P54 akan ditempatkan sebagai Pegawai Integriti di Pejabat Ketua Menteri, manakala Nur Faridah Mohamad yang memegang Gred P44 pula ditempatkan sebagai Pegawai Integriti di Unit Integriti Negeri Sabah di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Safar berkata usaha penempatan pegawai kanan SPRM berkenaan menunjukkan kesungguhan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan SPRM bagi mendokong hasrat kerajaan dalam menjadikan Malaysia dikenali dengan integritinya dan bukan rasuah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy berkata tugas yang akan dilaksanakan pegawai kanan berkenaan adalah lebih kepada membantu kerajaan negeri mempertingkatkan integriti pejawat awam di negeri ini, khususnya di Jabatan Ketua Menteri.

Mohd Fuad Bee pula berkata antara lain tugasnya adalah untuk mempromosi tadbir urus terbaik dan lebih kepada pencegahan.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Boleh percaya ke pegawai sprm tu tak akan terima rasuah…ada jaminan ke?tempat menteri kewangan sabah tu..siapa yg tahu cerita dlm pejabat tertutup tu.

Comments are closed.