Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil menunjukkan logo rasmi Kongres Keadilan 2019 pada sidang media di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 29 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Seramai 9,719 anggota baharu diluluskan dan diterima untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat dan ia satu permulaan yang positif kepada parti pemerintah itu pada tahun baharu 2020.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, perkembangan positif itu menyaksikan Selangor menjadi negeri tertinggi menerima keanggotaan baharu berbanding negeri-negeri lain.

“Seramai 9,719 anggota baharu telah diluluskan dengan penambahan terbesar di Selangor (2,441 anggota), Perak (1,762 anggota) dan Sabah (1,141 anggota),” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Menurut Fahmi, keputusan menerima keanggotaan itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang dijalankan malam semalam.

Katanya, mesyuarat itu diadakan sebagai rentetan daripada Kongres Nasional PKR yang berlangsung pada 7 dan 8 Disember tahun lalu.

“Malam tadi Biro Politik Keadilan telah mengadakan mesyuarat pertama bagi tahun 2020.

“Ia juga merupakan mesyuarat pertama Biro Politik sejak Kongres Nasional pada 7 dan 8 Disember yang lalu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Cabang Subang menerima keanggotaan baharu paling ramai di Selangor.

“Antara Cabang-Cabang yang mencatatkan jumlah anggota baharu tertinggi termasuk Subang (1,045 anggota), Sungai Siput (801 anggota), Serdang (800 anggota) dan Libaran (266 anggota),” katanya.

Fahmi tidak menolak jika momentum positif itu dikekalkan, keanggotaan PKR itu boleh mencecah 1 juta orang menjelang Jun ini.

“Sekiranya penambahan anggota baharu kekal pada kadar yang sihat ini, keanggotaan parti dianggar mencecah 1 juta pada pertengahan 2020,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.