Api marak di lapangan terbang Baghdad selepas dibedil roket. foto Agensi

BAGHDAD – Tiga roket Katyusha jatuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad awal pagi tadi.

Security Media Cell yang dikendalikan oleh tentera memaklumkan pengarah perhubungan awamnya terbunuh dalam serangan yang disifatkan sebagai “pengeboman pengecut Amerika Syarikat”.

Roket mendarat berhampiran terminal kargo udara, membakar dua kenderaan dan mencederakan beberapa orang.

Sumber polis pula berkata, sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan sembilan orang cedera dalam kejadian itu.

Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Penyokong kumpulan paramiliter Iraq yang disokong Iran menyerbu Kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad pada hari Selasa.

Serbuan itu merupakan tindak balas serangan udara Amerika Syarikat pada hari Ahad terhadap pangkalan Kataib Hezbollah yang telah melakukan serangan peluru berpandu hingga membunuh kontraktor Amerika Syarikat di utara Iraq minggu lepas.

Ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran telah meningkat di rantau ini susulan sekatan ekonomi yang dilakukan oleh Washington.

Kedua-dua belah pihak saling menyalahkan serangan ke atas loji minyak, depoh senjata serta pangkalan tentera yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette