Dr Mahathir Mohamad

RAMAI yang berteka-teki siapakah bakal dinamakan sebagai Menteri Pendidikan yang baharu menggantikan Dr Maszlee Malik.

Ada yang berpandangan diberikan kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa) yang pernah menjawat jawatan Menteri Pengajian Tinggi di era BN dahulu, ada yang berseloroh beri pada Datuk Seri Anwar Ibrahim pun ada.

Bagi saya, sehingga PRU15 yang dijangka berlaku awal ini, saya ingin mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad memangku sahajalah jawatan Menteri Pendidikan. Biarpun bercanggah dengan Manifesto PH, tetapi ingatlah kita bahawa Manifesto bukan kitab suci.

Kenapa mesti Tun? Sebab saya membayangkan Tun boleh mengembalikan semula idea sekolah yang menggabungkan semua bangsa dan kaum di dalam kawasan yang sama iaitu idea Sekolah Wawasan yang terkubur setelah beliau berundur daripada kerusi PM ke-4.

Lagipun, idea persis sekolah satu aliran ini tidaklah asing dari ideologi Tun yang cukup tidak suka akan Sekolah Vernakular.

Perdana Menteri sewaktu meninggalkan pejabatnya ketika menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4 pada akhir tahun 2003 pernah menyebut;

“Jika rakyat di negara ini sengaja ingin mengasingkan diri dengan berfikiran sekolah kebangsaan hanya patut dipenuhi kanak-kanak Melayu, sekolah Cina untuk kanak-kanak Cina dan Tamil untuk kanak-kanak Tamil saja, maka sudah tentu sukar untuk membentuk corak rakyat Malaysia yang ada sekarang ini.

Kemudian pada tahun 2012, ketika hangat kembali cadangan menghapuskan sekolah vernakular, Tun sekali lagi menyebut;

“Sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka dan sebagainya, maka kita akan ada 3 rakyat berlainan, dengan setiap satu bercakap dalam bahasa berbeza. Malah, saya berpendapat kita tak akan dapat hidup bersama sekiranya kita tidak memahami satu sama lain,” katanya yang dipetik Bernama.

Tahun 2014, Tun sekali lagi mengulangi pendirian beliau apabila melihat begitu banyak sekali Sekolah Jenis Kebangsaan Cina diberi kelulusan. Tun menyebut dalam blognya;

“Dengan perkembangan ini, anak daripada kaum berbeza hilang semua peluang untuk membesar bersama – anak Melayu ke sekolah kebangsaan, anak Cina ke sekolah rendah dan menengah Cina, dan India ke sekolah Tamil,” terang beliau.

Tahun ini, apabila Tun menduduki kembali kerusi Perdana Menteri Malaysia, beliau sekali lagi menyatakan pendirian beliau. Tun menyebut bahawa sekolah vernakular menjadi penghalang perpaduan kaum di Malaysia;

“Ini bermakna berlainan bangsa pergi ke sekolah yang berbeza. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain dan apabila mereka tamat sekolah, mereka pergi bekerja dengan kaum lain yang tidak mereka kenali. Ini menjadi penghalang kepada perpaduan negara,”

Saya melihat bahawa sudah tiba waktunya untuk kita menilai semula Sekolah Vernakular di Malaysia.

Dalam menelusuri detik-detik Malaysia Baharu, dalam kita mahu ‘membina semula negara’ ini kita perlu jujur dan berani.

Tidak ada mana-mana negara diseluruh dunia hatta negara jiran kita yang paling hampir, Singapura pun tetap mengangkat sistem pendidikan satu aliran walaupun mereka juga berbilang bangsa.

Baru-baru ini ketika Menteri Kewangan membentangkan belanjawan 2019, kecoh apabila melihat bagaimana kerajaan seolah-olah tidak melakukan analisas keperluan yang mendalam ketika mengagihkan peruntukan.

Dan ini menimbulkan polemik ketidakpuashatian dalam kalangan rakyat.

Saya kira, jika hasrat Dr. Mahathir diteruskan iaitu meletakkan asas pendidikan kita kepada sekolah satu aliran sahaja, polemik seperti ini tidak akan berlaku.

Anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan dan anak Iban, semua anak kita, dan semua duduk belajar dalam satu sekolah yang sama, menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bahasa perpaduan seluruh anak Malaysia!

Bila saya amati balik ucapan Tun ketika mahu meninggalkan Pejabat Perdana Menteri ke-4 tahun 2003 itu, maka tahulah saya, mengapa Tun ketika awal mengangkat sumpah menyatakan hasrat beliau mahu memegang portfolio Menteri Pendidikan.

Wahai seluruh anak Malaysia, sudah tiba masanya untuk kita jujur dan berani, untuk sebuah masa hadapan Malaysia yang lebih baik dan harmoni.

Hidup Rakyat!

Oleh: Hazwan Mohamad, Presiden,
Professional Muslim Community (PMC).