Kerajaan memutuskan setiap Jumaat sebagai Hari Jawi.

PULAU PINANG – Dengan ibu bapa kepada murid di darjah empat bakal membuat keputusan mengenai pengajaran pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular, keadaan sedikit berlainan di sekolah ini.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Sin Min di Sungai Pinang, Pulau Pinang hanya mempunyai seorang murid tahun empat dan penjaganya justeru menjadi satu-satunya orang yang membuat keputusan mengenai pengajaran tulisan Jawi di sekolah itu.

Walau bagaimanapun, garis panduan Kementerian Pendidikan juga memberi kuasa kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) untuk membuat keputusan mengenai hal itu.

China Press melaporkan, pihak PIBG SRJKC Sin Min bagaimanapun belum berbincang sama ada isu pengajaran tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu tahun empat akan ditentukan satu-satunya ibu bapa yang ada atau secara kolektif oleh PIBG.

Dalam perkembangan berkaitan, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berserta wakil dari empat pertubuhan Cina dan India telah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan pada Khamis.

Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim memberitahu, pihaknya berpendirian bahawa lembaga pengelola sekolah harus dilibatkan dalam membuat keputusan mengenai pengajaran tulisan Jawi di sekolah rendah Cina.

“Saya percaya pertikaian yang berlaku dapat ditenteramkan dengan segera jika lembaga pengelola dijadikan badan yang membuat keputusan,” katanya dipetik China Press.

Ditanya gesaan pihak yang mahu Dong Zong diharamkan, Tai Kim berkata,  pertubuhan pimpinannya hanya menyampaikan suara rakyat selari dengan kebebasan yang diberikan Perlembagaan.

“Setiap orang mempunyai kebebasan bersuara dan kami bertindak mengikut peraturan pertubuhan Dong Zong,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Banyak songeh ko DongKeyZong, tak suka ikut Perlembagaan Persekutuan, sila meninggal ya!

Comments are closed.