Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA – Malaysia memilih untuk membuka kedutaan untuk Palestin di Amman, Jordan kerana tidak wujud ruang untuk melaksanakannya di Rahmallah.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pembukaan kedutaan di Rahmallah adalah sukar menjadi realiti disebabkan perlu berurusan dengan Israel.

“Pelan kita adalah membuka kedutaan penuh di Amman tetapi mendedikasikan kepada Palastin. Sebab kita tidak boleh buka ia di Rahmallah.

“Untuk buka di sana (Rahmallah). kita perlu ada sesuatu bentuk hubungan (diplomatik) dengan Israel,” katanya kepada pemberita dalam sidang media kad laporan pencapaian 2019 di Wisma Putra petang ini.

Pada 29 Disember lalu, Saifuddin berkata, Malaysia merancang melantik konsul kehormat di Ramallah dan Gaza pada tahun ini sebagai tambahan kepada Kedutaan Malaysia untuk Palestin di Jordan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.

Ia membolehkan Malaysia mempunyai perwakilan di kedua-dua wilayah Palestin.

Tambah Saifuddin, pihaknya mempunyai langkah alternatif untuk membuka kedutaan di Gaza tetapi Rahmallah merupakan ibu kota.

“Untuk berlaku adil kita buka kedutaan di sini (Amman) kerana kita juga tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel untuk bertapak di Rahmallah. Jadi kami memilih membuka di Amman, Jordan,” katanya.

Bagi tujuan itu katanya, kerajaan sedang berbincang dengan Menteri Luar Jordan bagi menentukan tarikh sesuai memulakan operasi secara rasmi.

“Kami harap mulakan operasi kedutaan menjelang suku pertama 2020 ini. Bagi kedutaan di Istanbul pula kita jangkakan secepat mungkin dalam masa terdekat ini.

“Manakala kita juga akan melantik konsulat kehormat dalam kalangan pegawai rakyat Iraq, Iran dan Libya tetapi masih menunggu keputusan dan penerimaan dari kerajaan ketiga tiga negara itu.

“Kita sudah ada nama untuk dilantik tetapi jika kerajaan itu tidak mahu menerima cadangan itu susah juga, maka perjanjian itu perlu dipastikan diterima baik kedua dua pihak,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette