Tan Sri Kamal Salih

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sarawak kesal apabila pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang baharu, Tan Sri Dr Kamal Mat Salih dibuat tanpa merujuk kepada pihaknya.

Dr Kamal merupakan Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan meminta penjelasan daripada Kerajaan Pusat berhubung perkembangan terbaharu itu.

Menurut kenyataan itu lagi, amalan sebelum ini Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS hanya dilantik selepas perbincangan dibuat dengan kerajaan negeri, namun tiada sebarang pemakluman dibuat sebelum pelantikan Dr Kamal diumumkan di media.

Proses tersebut telah bermula sejak pelantikan Pengerusi pertama, Tan Sri Amar Bujang Mohd Nor, pengerusi kedua, Datu Dr Hatta Sloi dan pengerusi ketiga, Tan Sri Panglima Sulong Matjeraie di mana perkhidmatannya tamat pada 30 April 2021. – MalaysiaGazette