Mohd Radzi Md. Jidin

KUALA LUMPUR – Bukan menjadi keperluan bagi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membincangkan pelantikan seorang menteri dalam mana-mana mesyuarat khusus melainkan beliau sendiri berpandangan sedemikian.

Ini kerana Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri daripada kalangan ahli mana-mana Parlimen.

“Ini bermakna adalah menjadi prerogatif atau hak budi bicara Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang pelantikan seorang menteri,” kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Radzi Jidin.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, beberapa pihak telah secara terbuka mencadangkan nama-nama calon Menteri Pendidikan yang baharu untuk menggantikan Dr Maszlee Malik.

Malah, katanya, terdapat juga cadangan supaya pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan.

Baca: Pengganti Maszlee: Lebih baik bincang dalam mesyuarat PH, kata Guan Eng

Bagaimanapun, Radzi menegaskan, bahawa prerogatif atau budi bicara perdana menteri untuk melantik menteri pendidikan.

Katanya, dalam konteks pelantikan Menteri Pendidikan baharu yang mana penyandang sebelum ini adalah dari Bersatu, tidak wujud keperluan bagi PH utk bemesyuarat bagi memilih pengganti dari parti itu.

“Oleh yang demikian semua pihak mestilah menghormati prerogatif atau hak budi bicara YAB Perdana Menteri untuk melantik Menteri Pendidikan yang baharu.

“Bersatu berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam apa juga keputusan beliau berhubung pelantikan Menteri Pendidikan baharu demi kemajuan pendidikan bersama,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini menyatakan bahawa parti itu mempunyai pandangan sendiri tentang pengganti Maszlee dan berharap perkara itu dibincangkan antara parti dalam mesyuarat PH.

Maszlee meletakkan jawatan pada Khamis lalu dan beberapa nama disebut-sebut bakal menggantikan beliau antaranya Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Ser Mukhriz Mahathir.

Baca: Maszlee lepas jawatan Menteri Pendidikan

Turut dicadangkan adalah pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram dan bekas Naib Canselor UKM, Mohd Sham Mohd Sani. – MalaysiaGazette

 

 

2 Komen

Comments are closed.