KLANG – Kira-kira 100 juta pokok hutan pelbagai spesies akan ditanam sekitar kolam tadahan dan kawasan tidak dimajukan projek pembangunan sepanjang tahun ini.
Menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar, program itu akan dimulakan pada Mac ini di seluruh negara secara serentak dengan sambutan Hari Hutan Antarabangsa.
Beliau berkata, tujuan penanaman pokok hutan itu antara lain untuk memperindah dan menghijaukan kawasan persekitaran kolam tadahan botani yang dimulakan dengan menanam sebanyak 140 pokok dari 36 spesies.
Beliau berharap, komuniti setempat di seluruh negara sepakat untuk memberi perhatian dan kerjasama kepada majlis tempatan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Hutan Negeri untuk memastikan pokok berkenaan tumbuh dengan baik.
“Ada satu kawasan, kita tanam dengan pokok merbau sahaja, dan saya berharap projek permulaan memulihara kolam tadahan ini menjadi contoh kepada negeri lain.
“Kita juga akan adakan program ini dalam bandar sebagai mini hutan, memandangkan ada banyak kawasan yang kita boleh gunakan untuk tanaman pokok hutan ini.
“Tambahan pula, kawasan itu tidak boleh ada pembangunan disebabkan keluasan tanahnya sempit dan tidak sesuai dibina perumahan atau sebarang jenis premis,” katanya selepas majlis Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi melalui penanaman pokok di Kolam Tadahan di Taman Bandar Puteri hari ini.
Xavier menjelaskan, jenis pokok yang dipilih kementeriannya untuk mengindahkan kawasan dikenal pastikan itu ialah pokok hutan ikonik yang mempunyai kenunikan tersendiri yang perlu dihayati.
Katanya, kerajaan telah meluluskan kira-kira RM100 juta kepada kementerian itu untuk meneruskan program restorasi tebus guna dan memulihara kawasan hutan di semenanjung Malaysia.
“Kelulusan peruntukan ini adakan untuk pelaksanaan projek penanaman pokok hutan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), dan sepanjang tempoh itu sebanyak 1,640 dari 4,750 hektar kawasan hutan telah disasarkan bagi melaksanakan aktiviti pemulihan ini.
“Program ini melibatkan penanaman sebanyak 1.25 juta pokok, dan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan dari tahun 2016 hingga 2019 berjumlah RM32 juta.
“Untuk projek penanaman bagi RMK-12 pula kita akan mohon lebih perbelanjaan bagi memastikan lebih banyak pokok ditanam di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















