Pesawat 737 Max. foto Agensi

WASHINGTON – Boeing Co dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan sedang mengkaji isu pendawaian yang dipercayai menjadi punca litar pintas pada pesawat 737 MAX.

Jurucakap Boeing, Gordon Johndroe berkata, “mengenal pasti isu ini menjadi sebahagian daripada proses ketat dan sedang bekerjasama dengan FAA untuk melaksanakan analisis yang sesuai.

“Adalah terlalu awal untuk membuat spekulasi sama ada analisis ini akan membawa kepada sebarang perubahan reka bentuk”.

The New York Times melaporkan Boeing sedang meninjau sama ada dua pendawaian yang terlalu rapat bersama, yang menyebabkan litar pintas dan berpotensi mengakibatkan kemalangan jika juruterbang tidak bertindak balas dengan sewajarnya.

FAA dalam satu kenyataan berkata, agensi dan syarikat itu “sedang menganalisis beberapa penemuan daripada kajian baru-baru ini tentang pengubahsuaian yang dicadangkan kepada Boeing 737 Max.

Agensi itu menambah ia akan “memastikan semua isu berkaitan keselamatan yang dikenal pasti semasa proses ini ditangani. ”

Boeing kini sedang berusaha untuk memisahkan gumpalan pendawaian jika perlu dan menjalankan analisis untuk menentukan jika kesilapan elektrik boleh berlaku dalam senario sebenar, kata jurucakap syarikat.

Menurutnya, FAA telah mengarahkan Boeing untuk menyelesaikan audit pada bulan Disember.

Isu pendawaian boleh menyebabkan pesawat itu tidak dibenarkan terbang, katanya.

Reuters melaporkan sebelum ini FAA tidak mungkin meluluskan operasi pesawat itu sekurang-kurangnya sehingga Februari dan mungkin tidak sampai Mac atau lebih lewat.

FAA mendakwa isu pendawaian berpotensi menjadi “bencana.” Perlindungan lain seperti perisai, penebat dan pemutus litar boleh menghalang litar pintas, kata sumber Boeing.

Boeing akan menghentikan pengeluaran 737 MAX bulan ini susulan nahas pada bulan Mac selepas dua kemalangan maut dalam tempoh lima bulan yang membunuh 346 orang. – MalaysiaGazette