Posting tentang 'rendang ada cicak' oleh pemilik akaun Facebook bernama Nur Syazwanie pada 3 Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Syarikat Myza Bella Enterprise yang mengusahakan Rendang Tok di kiosk R&R Tapah menuntut dua individu, Nur Syazwanie (kasut murah) dan Muhamad Adli yang menularkan tentang ‘rendang ada cicak’ supaya tampil dan datang membuat kenyataan atau laporan Polis di Balai Polis Tapah.

Pemilik syarikat berkenaan, Nur Amiza Nabilah Amiludin berkata, dakwaan dua individu yang menular tentang rendang berkenaan adalah satu fitnah dan penipuan yang dilakukan oleh Nur Syazwanie dan Muhamad Adli bertujuan mahu menjatuhkan perniagaannya.

Susulan gambar yang diviralkan oleh dua-dua individu itu, Nur Amiza telah membuat siasatan dalaman dan laporan polis.

“Untuk makluman pelanggan-pelangan kami dan orang awam melalui siasatan dalaman kami yang telah kami lakukan kami mendapati melalui rakaman cctv kami dapati tiada sebarang jualan rendang pada tarikh dan waktu yang didakwa oleh kedua-dua individu tersebut dan tiada sebarang resit untuk jualan rendang dikeluarkan pada tarikh dan waktu yang didakwa oleh kedua-dua individu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Nur Amiza berkata, dia mendapat tahu perniagaan Myza Bella Enterprise telah diviralkan oleh satu akaun Facebook atas nama Nur Syazwanie yang dimuat turun pada Jumaat, 3 Januari lalu pada jam 3.25 petang pada keesokan harinya pada pukul 2 petang.

Ketika itu, posting berkenaan telah mendapat 5,000 perkongsian.

Tambahnya, Syarikat Myza Bella tidak mempunyai sebarang kiosk di mana-mana Agro Bazaar di R&R Lebuh Raya Plus sebagaimana didakwa oleh kedua-dua individu tersebut.

Sehubungan itu, Nur Amiza menasihati agar Nur Syazwanie dan Muhamad Adli untuk tampil dan datang membuat kenyataan atau laporan polis di Balai Polis Tapah bagi mengenal pasti kedai yang dimaksudkan dan juga untuk membantu siasatan polis dalam pekara ini.

Wanita itu juga menuntut kedua-duanya memohon maaf kepada pihaknya dalam tempoh 24jam dari tarikh dan waktu penyataan media sosial tersebut dikeluarkan.

Beliau juga menasihati pelanggan-pelanggan dan orang awam agar tidak mempercayai fitnah dan pembohongan tersebut.

Malah, beliau juga memohon agar pengguna-pengguna media sosial agar tidak berkongsi dan menularkan fitnah tersebut kerana ia telah menjejaskan reputasi perniagaannya.

“Pihak kami juga berharap kepada sesiapa yang telah berkongsi posting tersebut agar dapat memadamkannya semula sebelum kami mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik-pemilik akaun FB (Facebook) serta media sosial yang terbabit dlm penularan fitnah pembohongan tersebut.

“Pihak kami juga menuntut agar pemilik akaun Nur Syazwanie (kasut murah) dan Mohamad Adli memadam posting mereka serta menghentikan penyebaran fitnah dan pembohongan tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette