Kenyataan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia mengenai air zam-zam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai tidak membeli air yang dilabel sebagai air zam zam di pasaran tempatan kerana dikhuatiri tiruan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Nor Hisham Abdullah berkata, Kerajaan Arab Saudi melalui kedutaan Malaysia pada tahun 2011 dan 2015 telah mengeluarkan kenyataan mengesah dan menegaskan tidak mengeksport air zam zam ke luar negara.

Sehubungan itu, penjualan air zam zam di pasaran tempatan dikhuatiri adalah tiruan.

Menurutnya, air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam zam tidak boleh diperdagangkan.

Justeru, tiada pengedar atau syarikat yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam.

Katanya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sentiasa menjalankan penguatkuasaan terhadap penjualan air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen.

Daripada hasil penguatkuasaan yang dijalankan sejak tahun 2012 hingga kini sejumlah RM77,358.30 air yang dilabel sebagai air zam zam telah dirampas.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Dalam pada itu, Dr Nor Hisham menyeru orang ramai supaya dapat membantu menyalurkan sebarang maklumat penjualan air yang dilabel air zam zam di pasaran kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.