KUALA LUMPUR – Kanak-kanak lelaki cedera di kepala, belakang badan selain parah kedua kakinya selepas diserang kera di sebuah kedai pada Khamis lalu.

Namun kini menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskun, keadaan kanak-kanak tersebut stabil dan mendapat rawatan di Hospital Segamat.

Beliau berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku di kedai makan di Lebuhraya Muadzam Shah.

“Kejadian juga sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang kemudian berjaya mengesan dan menangkap haiwan itu,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian 3.30 petang Khamis lalu, Syed Nur Akif Rizqi Syed Ahmad, yang sedang menonton video pada telefon bimbit ibunya digigit haiwan itu.

Azari menambah, kera yang menggigit kanak-kanak itu sering berkeliaran di kawasan kedai makan berkenaan.

Sementara itu turut dilaporkan, kera tersebut telah berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Rompin pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette