Ekspo Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2018
Ekspo Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) meluluskan hampir RM700 juta bantuan kewangan untuk mencapai 1.04 juta tempat latihan sekali gus mencatatkan pertumbuhan 18 peratus daripada 2018.

KWPSM juga turut meningkatkan jumlah program persijilan yang diluluskan iaitu 17.7 peratus kepada 51,193 pusat latihan.

Dalam usaha mengukuhkan tadbir urus, ketelusan serta penguatkuasaan, KWPSM meningkatkan hampir 10 kali ganda lawatan penguatkuasaan daripada 552 lawatan pada 2018 kepada 5,466 lawatan pada tahun lepas.

KWPSM juga memperluaskan liputan kepada 29,701 majikan yang memberi perkhidmatan kepada 2.43 juta pekerja.

“Saya dengan sukacitanya ingin berkongsi bahawa menerusi proses-proses yang telah dilaksanakan untuk mengukuhkan tadbir urus dan operasi, KWPSM telah menyaksikan pertumbuhan yang optimum dan kami tetap komited menyokong pembangunan modal insan negara,” kata Pengerusi KWPSM, Datuk Noor Farida Mohd Ariffin.

Menerusi Belanjawan 2020, kerajaan memperuntukan RM30 juta kepada KWPSM untuk meningkatkan kemahiran belia Malaysia dari golongan berpendapatan rendah menerusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Lagi RM20 juta dengan geran padanan dari KWPSM turut diperuntukan untuk meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam industri pensijilan IR4.0 yang diiktiraf dan tidak lama lagi, pihak KWPSM akan mengumumkan program-program di bawah peruntukan tersebut.

Tahun ini, KWPSM mensasarkan untuk meluluskan 1.25 juta tempat latihan, dengan peningkatan 20 peratus berbanding tahun lepas. Selain itu, KWPSM turut mensasarkan untuk meluluskan 60,000 tempat latihan untuk program pensijilan industri tahun ini.

Bagi mencapai matlamat dan memberikan perkhidmatan terbaik selaras dengan nilai teras serta janji kepada pelanggan dan pihak berkepentingan, KWPSM akan meningkatkan aktiviti penglibatan dan lawatan selain menambahbaik tahap perkhidmatan serta sistem teknologi maklumatnya.

Katanya, KWPSM turut berharap memperluaskan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB 2001) yang membolehkan peratusan tenaga kerja lebih tinggi mendapat manfaat daripada skim serta inisiatif di bawah KWPSM.

Bagi membantu majikan membuat pilihan mengenai program latihan untuk pekerja mereka, KWPSM akan memperkenalkan Hab Pembelajaran dan Latihan KWPSM atau HRDF Learning and Training Hub (LATiH), sebuah pasaran latihan atas talian.

KWPSM yakin dalam memenuhi mandat yang diberikan kerajaan Malaysia dalam usaha membangunkan tenaga kerja tempatan yang berdaya saing selaras aspirasi Malaysia menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. – MalaysiaGazette