KUALA LUMPUR – Pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu mesti segera diisi bagi mengelakkan lebih banyak spekulasi, selain memastikan kelangsungan agenda pendidikan berjalan lancar.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak perlu mengheret masalah persaingan politik dalaman untuk menentukan calon sesuai bagi mengisi kementerian yang dikosongkan Dr. Maszlee Malik pada 2 Januari lalu.
Katanya, banyak lagi agenda reformasi pendidikan perlu difokuskan pada tahun 2020 ini, dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad harus segera mengumumkan penggantinya.
“Banyak polisi dan keputusan Kementerian Pendidikan masih dinantikan rakyat seperti isu pengiktirafan UEC, tulisan Jawi, penulisan sejarah, sarapan pagi, PTPTN, penggabungan UMT dan UNISZA.
“Rakyat juga menanti keputusan kementerian itu untuk pembaikan sekolah daif, peningkatan kualiti pembelajaran dan pengurangan beban guru.
“Jika pelantikan baharu pun terlalu banyak ‘politiking’, kita dapat bayangkan perjalanan Kementerian Pendidikan yang lebih haru biru selepas ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau menyatakan, kelewatan pengumuman pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu mencerminkan kelonggaran ikatan dalam kalangan komponen parti PH.
Setiap parti, katanya, mempunyai agenda tertentu dan tidak menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri.
“Rakyat mahu Kerajaan Persekutuan fokus kepada agenda lebih besar untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan membentuk iklim pendidikan yang jauh lebih baik bermula dekad baharu ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















