Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan satu lagi bagi membatalkan notis kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka berhubung dakwaan menerima wang dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar 26 Feb ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan di dalam kamarnya hari ini yang dihadiri peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman dan Mohd Haziq Razali mewakili ketiga-tiga pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali bertindak bagi pihak Ketua Pesuruhjaya SPRM dan SPRM selaku responden.

Shahrul Fazli mengesahkan tarikh tersebut ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes berkenaan.

Shahrir, Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan. yang bertindak bagi pihak Puteri UMNO, memfailkan permohonan semakan kehakiman secara berasingan menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq antara November dan Disember lalu.

Dalam permohonan itu, ketiga-tiga pemohon memohon pengisytiharan bahawa keputusan dan tindakan responden kedua (SPRM) mengkompaun mereka melalui Tawaran Untuk Mengkompaun Kesalahan bertarikh 7 Okt 2019 sebagai ultra vires, tidak sah, batal dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Ketiga-tiga pemohon juga memohon perintah bagi membatalkan keputusan dan tindakan responden kedua mengkompaun mereka selain memohon perintah untuk melarang SPRM daripada menguatkuasakan kompaun berkenaan atau meneruskan pendakwaan terhadap mereka.

Turut dimohon pengisytiharan bahawa kenyataan responden pertama (Ketua Pesuruhjaya SPRM) ketika sidang media berhubung keputusan mengeluarkan notis kompaun terhadap ketiga-tiga pemohon atas alasan untuk mendapatkan semula dana 1MDB yang dikatakan wang rakyat adalah pramatang, salah tanggap dan salah guna jawatan awam.

Pada 7 Okt tahun lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, dalam sidang media, berkata SPRM telah mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1MDB.

Latheefa berkata sembilan individu dan 71 entiti, terdiri daripada 23 syarikat, 43 organisasi politik dan lima yayasan dan organisasi menerima wang melalui cek yang melibatkan akaun bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

— BERNAMA