Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Mohd Fadzli Misdeh (dua kanan) bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berkenaan pelanggaran Akta Pilihan Raya 1954 yang dilakukan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Beaufort, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2020

BEAUFORT – Pemuda UMNO Beaufort, Mohd Fadzli Misdeh melahirkan rasa terkilan apabila telefon bimbitnya mahu dirampas oleh polis Beaufort susulan pendedahannya mengenai kesalahan pilihan raya.

Menurutnya, insiden itu berlaku selepas beliau membuat laporan polis terhadap Parti Warisan Sabah (Warisan) didakwa melakukan pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, semalam.

“Saya hairan kenapa pihak yang melakukan kesalahan pilihan raya tidak dipanggil tapi pengadu pula disoal siasat malah mahu pula rampas telefon pintar milik saya.

“Saya percaya ini satu cubaan jahat kerajaan memerintah untuk musnahkan bukti salah laku mereka pada hari pertama kempen pilihan raya ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort, hari ini.

Terdahulu, Mohd Fadzli membuat laporan polis terhadap Warisan yang didakwa menganjurkan cabutan bertuah sebuah motosikal dan beberapa barnsg lain dalam sebuah majlis sambutan Hari Krismas di Pekan Membakut, Sabtu lalu.

Dalam laporan polis itu, Mohd Fadzli turut menyenaraikan barangan cabutan bertuah, antara lain peralatan gergaji, hamper, kipas, basikal serta menjamu pengundi ketika berkempen.

Mohd Fadzli mendakwa, tindakan Warisan itu telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, di bawah Seksyen 8 (penjamuan) dan seksyen 10 (penyogokan).

Beliau turut melahirkan rasa hairan apabila laporan polis dibuatnya terhadap Warisan dipanjangkan untuk perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Selepas empat jam diambil keterangan berhubung aduan ini, saya diberitahu laporan ini akan dihantar kepada pengetahuan Ketua Polis Negara.

“Lebih pelik lagi kes ini sepatutnya dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau juga tidak menolak akan membuat laporan sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya akan laporkan pelanggaran Akta pilihan raya ini kepada pihak SPRM dalam masa terdekat.

“Walaupun ketika ini ada 300 pegawai SPRM telah turun ke Kimanis, saya harap kes ini dapat disiasat segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette