KUALA LUMPUR – Pas mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak tegas mengawasi dan menguatkuasa undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya yang berlangsung sekarang.
Perkara itu, menurut Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bertepatan dengan hasrat SPR sepertimana dinyatakan dalam kenyataan media pada 2 Oktober 2018.
Beliau memetik kenyataan media SPR tersebut, bahawa SPR menyeru agar setiap calon atau parti politik yang bertanding tidak melaksanakan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya seperti aktiviti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan bagi tujuan untuk memancing undi, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan, program kerajaan serta aktiviti kempen yang berunsurkan perkauman dan menyentuh sensitiviti agama.
“Semalam ada dua dakwaan mengenai penganjuran majlis jamuan dan memberi hadiah di Membakut.
“Kemudian, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut menyampaikan beberapa peruntukan, antaranya RM500,000 untuk membaiki jeti pendaratan ikan, RM90,000 kepada wakil nelayan di Kampung Nelayan Kampung Biau dan penyampaian replika cek berjumlah RM3 juta kepada PNK Papar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu mengulang kembali kesalahan yang pernah dilakukan dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini.
Kata Tuan Ibrahim, neskipun telah banyak kesalahan direkodkan oleh SPR dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun belum ada tindakan diambil. – MalaysiaGazette
















