KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan, Rayani Air Sdn Bhd masih belum membuat permohonan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk beroperasi semula.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat penerbangan tidak boleh beroperasi selagi tidak mendapat kelulusan daripada kedua-dua pengawal selia itu.

“Saya tak sedar ada permohonan daripada Rayani Air. Tetapi seperti biasa mereka perlu mendapat kelulusan daripada pengawal selia,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas meninjau jejantas yang menghubungkan stesen LRT Pasar Seni hari ini.

Rayani Air beroperasi pada Disember 2015 namun Sijil Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan itu dibatalkan pada 13 Jun 2016 berikutan siasatan yang dilakukan ke atas pentadbiran dan audit keselamatannya.

Baru-baru ini pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran Abdullah dipetik sebagai berkata, syarikat penerbangannya itu kembali beroperasi tahun ini.

“Assalamualaikum wbt. Penerbangan Rayani Air akan kembali beroperasi pada tahun 2020 dengan wajah baru tetapi masih lagi dengan konsep patuh syariah. Teruskan sokongan anda kepada kami,” tulisnya di Facebook pada 30 Disember 2019. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast