Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) berbual mesra dengan sebahagian penduduk ketika hadir pada Sambutan Krismas dan Tahun Baru 2020 sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Bongowan Estate, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2020

KIMANIS – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan, sekiranya beliau gagal membangunkan Sabah ketika menjadi menteri pusat, ini bermakna Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein juga gagal sebagai menteri luar bandar.

Beliau berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga boleh dikatakan gagal apabila gagal menyelesaikan masalah air dalam penempatan orang asli dalam Parlimen Raub.

“Kalau saya gagal, Tun Razak pun gagal sebab dia pun menteri kampung.

“Ismail Sabri beri peruntukan orang asli untuk buat paip tapi orang asli demonstrasi sebab tiada paip dibina,” katanya berucap dalam Majlis Sambutan Hari Krismas di ladang Bongawan hari ini.

Mohd Shafie juga membidas pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mendakwa beliau gagal membangunkan Sabah ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar sebelum ini.

“Saya tegur (UMNO) sebab saya menteri kampung, RM5 bilion untuk 14 negeri, saya urus bukan satu negeri,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa kesal apabila gambar beliau bersedekah di sebuah masjid di Semporna dimanipulasi oleh pembangkang untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

“Saya masuk masjid salam orang kampung, mereka minta saya derma sebab anak nak makan, bukan saya bagi lebih RM1,000 saya bagi RM800 sahaja.

“Kalau ada duit sedikit sedekahlah, ada viral saya bagi duit nak beli undi,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pengundi Kimanis agar menolak calon BN kerana telah memalukan masyarakat Kristian dengan membuat laporan polis atas dakwaan pelanggaran Akta pilihan raya.

“Gereja bagi duit tidak boleh, saya sedekah tidak boleh, mereka bagi duit boleh, kalau mereka bagi duit boleh ambil, undi jangan bagi.

“Kalau kita berkrismas tidak boleh sedekah, mana boleh kita berhenti bagi apa-apa di kawasan sebab kita ada PRK Kimanis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.