Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof (tengah) diiringi Pengerusi TT Live Group, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TT Live Mall, Datuk Kevin Wong (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran TT Live Mall di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof berkata isu mengenai kereta terbang adalah  konsep yang bersifat semantik (tanda atau lambang) yang cuba dibawa oleh kerajaan.

Katanya, konsep kereta terbang yang dibawa kerajaan adalah untuk orang ramai memahami kandungan yang tersirat dalam idea kepada pembinaan kereta terbang.

“Kita kena ada kefahaman bila bercakap tentang kereta terbang. Ia semantik, ia untuk orang ramai faham apa kandungan yang tersirat dalam konsep kereta terbang itu.

“Ia untuk mendorong masyarakat supaya sedar akan teknologi yang telah diilhamkan dan diangkat ke dalam dunia moden yang kita lihat hari ini,” katanya dalam satu sidang media selepas melancarkan sebuah perniagaan platform dalam talian di media sosial, TT Live Mall di ibu negara hari ini.

Mohd. Redzuan berkata demikian ketika mengulas pertanyaan media tentang kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata kereta terbang bukan konsep Wawasan 2020 yang beliau ilhamkan 29 tahun dahulu.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof bercakap semasa sidang media pada Majlis Pelancaran TT Live Mall di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2020.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan berkata, suatu masa dahulu konsep kapal terbang tidak diterima kerana kapal hanya diketahui berada diatas air.

“Siapa terfikir kapal boleh terbang, hari ini orang panggil kapal terbang. Kalau tengok ia adalah bentuk kapal.

“Ini adalah pemikiran yang kita ada hari ini tapi kita ada budaya pemikiran kritikal. Ini bagi, kita boleh berdebat dan bawa kepada pemahaman ramai tentang apa yang kita nak lakukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Redzuan turut berkata Malaysia tidak boleh terus untuk kekal kepada pemikiran masa lampau.

Malah katanya, ia perlu menjadi kayu pengukur dalam sejauh mana Wawasan 2020 mampu merubah negara kearah negara maju.

“Dalam Wawasan 2020, kita ada misi dan visi yang telah dicapai, hari ini saya rasa Wawasan 2020 patut dilihat sejauh mana kita telah capai.

“Wawasan 2020 pada saya ialah wawasan yang terbaik, jika nak capai visi dan misi yang terbaik, kita tidak boleh terus kepada pemikiran lampau tapi perlu fikir di sebaliknya dan lebih inovasi.

“Semantik mungkin akan menarik membawa sifat cemburu, tapi apa pun saya tahu ramai di luar sana mahu komersialkan penemuan mereka dan tunjuk kebolehan mereka,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu sebelum ini sangat popular apabila mengumumkan projek kereta terbang awal tahun lalu dan sejak itu beliau mempertahankannya daripada kritikan pelbagai pihak.

Lebih daripada itu, kementeriannya akan menampilkan prototaip kereta terbang iaitu ‘Vector’ pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 yang rata-rata menyifatkan kritikan hebat daripada netizen di media sosial. – MalaysiaGazette