Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. foto NOOREEZA HASHIM, 23 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – “Apabila larangan merokok dikuatkuasakan bermula 1 Januari lalu, tidak bermakna saya musuh perokok dan anti merokok, sebaliknya saya mahu sedarkan mereka supaya menghormati orang yang tidak merokok,”..

Demikian jelas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berhubung kecaman yang beliau terima sebaik penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan dan awam dikuatkuasakan Rabu lalu.

Beliau menegaskan, apa yang dilakukan kementerian itu adalah untuk menyelamatkan mereka yang bukan perokok daripada menghidup asap rokok, sekali gus melahirkan masyarakat yang bersih dan bebas dari rokok.

Katanya, mengikut statistik, 80 peratus bukan perokok terdedah kepada asap rokoo, malah tujuh dari 10 orang dewasa juga terdedah kepada asap itu.

“Kita juga dapati 37 peratus kanak-kanak bawah umur 12 tahun terdedah kepada asap rokok termasuk dalam kereta, di rumah dan ditempat makan.

“Dengan penguatkuasaan ini, saya minta kepada yang merokok, berhentilah merokok, tolonglah patuhi sedikit larangan ini kerana ia memberi kesan kepada masyarakat seperti anak, wanita hamil dan orang tua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen Speak Out: Express Your Right” di stesen Komuter di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, kempen itu adalah program yang sangat besar maknanya kepada kementerian itu sempena bermulanya larangan merokok pada 1 Januari lalu di tempat awam.

Kata beliau, kementerian itu telah melaksanakan kempen mendidik larangan merokok di seluruh negara setahun lalu dan tiba masanya penguatkuasaan dijalankan.

“Program Speak Out ini memberi isyarat kepada bukan perokok kepada perokok bahawa mereka mempunyai hak untuk menghidu udara bersih, bebas dari gangguan asap rokok dengan sopan dan bertamadun.

“Kita mengimpikan dapat melahirkan msayarakat yang sihat dan sejahtera serta bandar tanpa asap rokok,” katanya.

Ditanya jumlah perokok yang dikenakan kompaun dalam tempoh enam hari sejak dimulakan Rabu lalu, Dr. Dzulkefly berkata, sebanyak 36,979 tempat makan telah diperiksa.

Ujar beliau, kekuatan anggota dan pegawai yang menjalankan penguatkuasaan itu seramai 2,000 orang dan sebanyak 21,617 notis kesalahan telah dikeluarkan.

Beliau bagaimanapun, tidak mahu menyebut jumlah kompaun yang diperolehi sepanjang tempoh seminggu itu.

“Nilai kompaunnya agak besar juga. Tetapi ini bukanlah antara sumber pendapatan negara.

“Kami boleh untuk tidak mengenakan denda dan bukan pendekatan kita mahu mengenakan denda kepada perokok dan pemilik premis yang melanggar peraturan kita tetapkan.

“Tetapi setelah setahun program pendidikan kita jalankan, kita harap perokok menghormati larangan ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, bukan senang hendak mengkompaunkan perokok, tetapi setelah mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak, kementeriannya mengambil keputusan untuk meneruskan penguatkuasaan itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.