KUALA LUMPUR – Sembilan lelaki ditahan dalam satu operasi di Klang dan Kuala Selangor kerana terlibat dalam sindiket pengedaran minuman keras seludup yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang.

Mereka terdiri daripada dua lelaki Cina dan tiga India warga tempatan, tiga lelaki Bangladesh dan seorang lelaki rakyat India berumur antara 22 hingga 39 tahun.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat orang.

Menurutnya, sejumlah 1,875 kotak minuman keras pelbagai jenama dengan nilai selepas cukai ditaksirkan adalah RM348,520 dirampas. Turut dirampas ialah sebuah lori, dua buah kereta dan sebuah forklift.

Nilai rampasan keseluruhan adalah RM473,520.

Menurutnya, tiga daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau.

Lima daripada suspek ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini hingga 9 Januari tahun ini dan empat lagi ditahan
reman selama empat hari.

Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette