Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Peningkatan pelaburan, menangani isu pengangguran dan sara hidup serta mengukuhkan produktiviti dan inovasi merupakan fokus utama yang diberi perhatian oleh Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada tahun ini.

Ini kerana, aspek-aspek tersebut adalah pemangkin pertumbuhan ekonomi, kata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Di samping itu, bidang pertumbuhan ekonomi baharu seperti Revolusi Industri Ke-4 (4IR) dan teknologi kewangan (Fintech) juga aspek yang diberi perhatian.

Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat EAC yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semalam

Menurutnya, tahun 2020 dijangka lebih mencabar ketika keadaan ekonomi dunia masih belum meyakinkan berikutan kemelut perang dagang Amerika Syarikat dan China yang berterusan serta situasi geopolitik serantau yang berpanjangan.

Ketegangan di Timur Tengah juga dilihat boleh menjejaskan harga minyak mentah dunia yang akan memberi kesan kepada pengeluaran sektor tenaga.

Situasi ini mengurangkan keyakinan pelabur untuk melabur di negara membangun, justeru memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, katanya.

Seiring dengan usaha ke arah membangunkan ekonomi digital sebagai persediaan menghadapi era Revolusi Industri 4 (4IR), EAC juga telah memperhalusi cadangan berkaitan dengan pembangunan infrastruktur digital daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Antara isu yang dibincangkan adalah cadangan perkongsian infrastruktur yang bertujuan mengoptimumkan perbelanjaan sedia ada dan membolehkan perkhidmatan kesalinghubungan jalur lebar disediakan dalam masa yang lebih singkat.

Ujarnya, bagi memastikan sasaran Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dapat dilaksanakan sepenuhnya, semua pihak termasuk syarikat pembekal perkhidmatan, kerajaan negeri, kementerian dan agensi yang berkaitan digesa untuk memberi kerjasama sepenuhnya. – MalaysiaGazette