Cadangan laluan projek RTS

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengecewakan apabila mereka tanpa berfikir panjang memutuskan untuk membeli kereta-kereta mewah bagi kegunaan menteri-menteri serta pegawai-pegawai tinggi yang menelan kos RM4.5 bilion tatkala ekonomi negara sedang merosot.

Tetapi pada masa sama tergamak memberi pelbagai alasan untuk melengah-lengahkan projek Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS) yang bernilai RM3.16 bilion.

Sedangkan, masalah kesesakan trafik telah menjadi igauan buruk lebih 200,000 pengguna Tambak Johor setiap hari.

Tetapi Kerajaan PH yang melaungkan slogan dahulukan serta sayangkan rakyat telah dengan pantas dan efisien mahu membeli 32 buah kereta Toyota Velfire serta 3000 kereta Honda Accord apabila berkuasa tidak sampai pun dua tahun, tempelak Ketua Biro Komunikasi Antarabangsa dan Diplomasi MCA, Dr Tee Ching Seng.

Menurutnya, projek RTS telahpun ditngguhkan selama setahun lapan bulan.

“Adakah PH menganggap kereta rasmi lebih penting daripada RTS? Dan nikmat menteri dan pegawai tinggi patut didahulukan berbanding menyelesaikan masalah rakyat? Menteri berkereta mewah diiringi polis trafik, tetapi rakyat pula menderita di dalam kesesakan di atas tambak dari pagi sampai malam,” soalnya.

Mengikut laporan, kontrak mensyaratkan kerajaan perlu membayar RM300 juta setahun selama 15 tahun, dengan jumlahnya mencecah RM4.5 bilion bagi kenderaan-kenderaan tersebut berbanding kos keseluruhan RTS pada RM3.16 bilion, iaitu kurang RM1.34 bilion daripada kereta kerajaan.

Secara perbandingan, jelas Tee, kenderaan hanyalah untuk kenikmatan mentri dan pegawai tinggi, manakala RTS pula aset tetap yang bakal memberikan pulangan operasi serta membawa kesan positif kepada ekonomi Johor dan mengatasi masalah kesesakan trafik di Tambak Johor.

Malangnya, kata Tee, Kerajaan PH sentiasa menggunakan pelbagai alasan untuk menangguhkannya.

Dalam keadaan ekonomi negara yang kurang baik sekarang, Kerajaan PH tidak berbelanja secara berhemah dengan mendahulukan projek untuk kesejahteraan rakyat dan negara, sebaliknya mementingkan nikmat pegawai tinggi.

“Setelah setahun dan 8 bulan PH berkuasa, masalah kesesakan di Tambak Johor bertambah runcing, kemalangan juga sering berlaku. Kerajaan hanya bercakap kosong dan berbelanja untuk melakukan pelbagai kajian, namun amat mengecewakan, tiada apa-apa tindakan konkrit diambil setakat ini,” tambahnya.

Di samping itu, susulan persetujuan Malaysia dan Singapura menangguhkan projek Tren Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Malaysia perlu membayar kira-kir RM45 juta kepada Singapura pada Januari ini.

Kata Tee lagi, penangguhan adalah sehingga 31 Mei tahun ini, jika projek tidak diteruskan, Malaysia perlu membayar ganti rugi bersamaan kos yang ditanggung oleh Singapura akibat penangguhan tersebut.

“Melihat kepada sikap kerajaan menangani RTS, kami menaruh syak sama ada HSR mampu dilaksanakan mengikut jadual,” ujarnya. – MalaysiaGazette