Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menafikan bahawa promosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 hambar dan tidak seperti sebelum ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Musa Yusof berkata, pihaknya telah membuat promosi itu di luar negara sejak tiga tahun yang lalu.

“Ini adalah ada kesilapan persepsi, Kementerian Pelancongan  Malaysia telah lancar pra pelancaran pada November 2017 di London.

“Bulan Januari (2018) pula pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 dibuat di Thailand iaitu Chiangmai. Lepas itu hujung 2018 di London sekali lagi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, kementerian itu mengubah strategi promosi yang bersesuaian kedudukan bilai ringgit yang tidak kukuh sejak kebelakangan ini.

Katanya, jika sebelum ini promosi yang digunakan adalah menekankan tempat yang lebih menarik namun kini pendekatannya adalah penjimatan melancong di Malaysia iaitu dengan meletakkan harga pakej.

“Tapi keadaan mata wang kita tidak kukuh, kita kaji semula  teknik supaya kita gunakan cara taktikal. Di sebalik guna di Malaysia ada tempat menarik itu dan ini kita beritahu melancong di Malaysia dengan harga yang berapa (tertentu),” katanya. -MalaysiaGazette