Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KIMANIS – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan lagi sebuah badan bebas apabila ia gagal bertindak tegas ke atas Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas didakwa melakukan kesalahan pilihan raya Sabtu lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, keengganan SPR berbuat demikian bukan perkara baru, bahkan telah terbukti dalam beberapa pilihan raya kecil lalu.

“SPR tidak boleh mengatakan mereka ini badan bebas lagi, kalau inilah cara mereka bertindak.

“Apabila tahu kalah dalam PRK Tg Piai, mereka guna SPR dengan perkenal peraturan baru, iaitu berkempen rumah ke rumah memerlukan permit walaupun tiada dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Selepas saya membuat kenyataan akhbar, pengerusi SPR tak setuju dengan saya, tapi Alhamdulillah esoknya Peguam Negara mengatakan tidak perlu permit untuk kempen rumah ke rumah.

“Maknanya apa yang dilakukan SPR menunjukkan bahawa SPR bukan badan bebas tetapi masih lagi tertakluk kepada arahan daripada pihak kerajaan,” katanya selepas Ceramah BN di PDM Kabang, malam ini.

Ahad lalu, Ketua Pemuda UMNO Beaufort, Mohd Fadzli Misdeh membuat laporan polis terhadap Warisan kerana didakwa menganjurkan cabutan bertuah dalam Majlis Sambutan Hari Krismas.

Majlis itu antara lain memberikan motosikal, basikal, kipas, mesin gergaji dan hamper dalam satu majlis sambutan Hari Krismas di Pekan Membakut, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga menegaskan, walaupun SPR tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan pilihan raya itu, namun pihaknya akan terus membuat laporan polis sekiranya perkara itu berulang.

“Pelbagai perkara dilakukan dan kita di pihak BN akan buat laporan polis seperti biasa dan Pemuda sudah membuat laporan polis.

“Selepas beberapa lama PRK lepas berlalu, tindakan masih tiada dan saya percaya tidak akan ada.

“SPR kena buktikan kepada rakyat bahawa mereka benar-benar badan bebas kalau tidak, rakyat tidak akan percaya lagi selepas ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette